TARUMIZU, (Jepun) – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilhan pucuk pimpinan Parti Liberal Demokrasi (LDP) pada bulan depan, lapor Jiji Press pada Ahad.
Bercakap kepada pemberita di Tarumizu, Wilayah Kagoshima, di barat daya Jepun, Abe, 63, menjelaskan mengenai pencapaian yang dibuat dalam dasar ekonomi dan luar negara sepanjang tempoh lima tahun pentadbirannya.
“Saya bertekad untuk terus menerajui Jepun selama tiga tahun lagi sebagai presiden LDP dan perdana menteri. Saya akan mengetuai usaha membangun negara menuju ke era baharu melangkaui era Heisei,” katanya.
Heisei, merujuk kepada nama era sekarang yang akan berakhir dengan turunnya Maharaja daripada takhta yang dijadual pada 30 April tahun depan.
Abe dijangka dicabar pesaingnya bekas Ketua Setiausaha LDP, Shigeru Ishiba, 61, yang turut mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan parti 20 September ini.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Seiko Noda, 57, dilihat terpaksa berundur daripada bertanding memandangkan gagal mendapat sokongan yang cukup.
Abe memperolehi sokongan daripada lima parti utama.
Pemilihan pada September itu bakal menyaksikan jawatan itu dipertandingkan dalam tempoh enam tahun. Pada tahun 2015, Abe menang tanpa bertanding.
Abe pertama kali dipilih presiden LDP dan perdana menteri pada September 2006, kemudian meletak jawatan selepas hanya setahun berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya Dewan Majlis pada Julai 2007.
Beliau kemudian kembali menjadi presiden pada September 2012 dan telah mengetuai LDP memenangi kesemua lima pilihan raya. – BERNAMA