ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menerusi jawatankuasa ditubuhkan Kerajaan Pusat berkaitan isu pemilikan hartanah oleh warga asing akan menerangkan secara terperinci berhubung dasar diamalkan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata Johor akan menerangkan dasar yang dilaksanakan mengenai pemilikan hartanah oleh warga asing supaya Kerajaan Pusat lebih memahaminya dengan jelas.
Katanya, dua hari lalu beliau menghadiri perbincangan dianggotai semua menteri dan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang kemudian memutuskan mahu menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
“Kita akan berbincang dengan jawatankuasa (isu pemilikan hartanah) dan buat masa ini adalah menjelaskan kenyataan dikeluarkan Yang Amat Berhormat (Dr Mahathir) (berkaitan larangan warga asing membeli hartanah di Forest City) dengan menerangkan dasar dilaksanakan di Johor mengenai perkara itu.
“Mungkin Tun (Dr Mahathir) sendiri tidak faham sebab dalam kawasan IRDA (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar) dibuat ketika itu Tun tiada, kerana pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).
“Benda ini ada kaitan dan Tun mungkin tidak dapat maklum balas jelas dan kerajaan negeri akan melaporkan dasar sedia ada yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian pecah tanah pembinaan laluan persimpangan jalan raya di Gerbang Nusajaya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Beliau mengulas mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung kenyataan Dr Mahathir yang tidak membenarkan rakyat asing membeli unit kediaman di projek Forest City.
Isnin lalu, Perdana Menteri memberitahu Malaysia tidak akan membenarkan rakyat asing membeli unit kediaman di projek Forest City yang membabitkan pelaburan sehingga RM410 bilion, selain tidak akan memberikan visa kepada warga asing yang tinggal di situ.
Mengulas lanjut, Osman berkata kerajaan Johor sentiasa mengalu-alukan kedatangan warga asing untuk melabur dengan membeli hartanah di negeri itu dan pada masa tidak mengetepikan permintaan dan kehendak rakyat tempatan yang mahukan kediaman.
“Dasar yang dilaksanakan sebelum ini menetapkan harga kediaman bernilai RM1 juta kepada warga asing yang mahu membeli hartanah di sini, jika mata wang kita meningkat mungkin satu hari nanti kita naikkan nilai itu,” katanya. – BH Online