PUTRAJAYA – Seorang anggota polis bantuan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM1,300.
Majistret Ainna Sherina Saipolamin mengeluarkan perintah reman sehingga Ahad ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 33 tahun yang berpangkat koperal itu ditahan pada 3.20 petang semalam di klia2.
Katanya, suspek disyaki menerima suapan sebanyak RM1,300 daripada seorang lelaki warga asing sebagai balasan melepaskan barangan yang melebihi berat untuk menaiki penerbangan dari Malaysia ke Bandung, Indonesia.
Jelasnya, beberapa individu lain akan turut dipanggil susulan penahanan polis bantuan tersebut.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA