CHICAGO – Polis Texas berjaya menemui semula jerung kecil yang diseludup keluar dari akuarium dalam kereta sorong bayi oleh tiga pencuri dan menahan seorang daripada suspek.
Polis menemui jerung itu awal kelmarin, dua hari selepas ia dicuri dari Akuarium San Antonio dalam kecurian nekad pada waktu tengah hari.
Tiga pencuri dirakamkan video keselamatan memindahkan ia dari tempat pameran, meletakkan ia di dalam baldi dan menyeludup keluar dengan kereta sorong bayi.
Mereka melarikan diri dengan trak merah.
Polis menemui trak itu dan maklumat membantu mereka mengesan kenderaan itu kelmarin di rumah Antone Shannon, menurut laporan San Antonio Express-News.
Lelaki berusia 38 tahun itu mengaku melakukan jenayah berkenaan dan didakwa mencuri.
“Dia memiliki banyak haiwan marin di rumah, amat tahu apa yang dilakukannya,” kata Ketua Polis Leon Valley, Joseph Salvaggio, kepada wartawan lewat kelmarin.
Jerung berkenaan berada dalam keadaan baik dan dikuarantin. – AFP/BH ONLINE