PETALING JAYA – Pengalaman dilahirkan dan membesar di kawasan pedalaman menjadikan calon PAS, Dr Halimah Ali bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mudah memahami denyut nadi golongan orang susah.
Beliau yang dilahirkan dan dibesarkan di Marudi, Miri, Sarawak, berkata ini adalah kelebihan dirinya untuk memperbaiki kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dan miskin bandar di sekitar kawasan DUN itu.
“Pengalaman menduduki kawasan pedalaman (Marudi) selama 17 tahun menjadikan saya mudah memahami kehendak mereka (golongan orang susah) dan ia bukan perkara baharu untuk diri saya kerana saya boleh merasai denyut nadi orang susah,” katanya ketika ditemui pada sesi ‘walkabout’ di Pasar Malam Lembah Subang, di sini hari ini.
Dr Halimah berkata selama 10 hari kempen dijalankan beliau mendapati infrastruktur dan keadaan di sekitar kawasan golongan berpendapatan rendah agak daif.
Sementara itu, Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor berkata tiada cabaran baharu dihadapinya sepanjang tempoh berkempen setakat ini tetapi mengalami sedikit kesukaran untuk menarik pengundi daripada kaum Cina.
“Mereka (pengundi kaum Cina) terhalang dengan propaganda pelbagai pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kami (PAS) sebagai aktivis ektremis. Oleh itu, saya berharap pengundi Cina yang intelektual harus berfikiran terbuka,” katanya.
Dr Halimah akan berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar dalam PRK DUN Seri Setia pada 8 Sept ini.
Kekosongan kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas. – BERNAMA