KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-61 pada tahun ini dalam era “Malaysia Baharu”.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemerdekaan yang dikecapi bukan suatu yang mudah kerana ia hasil keringat dan pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu.
Kata beliau, pejuang kemerdekaan bukan sahaja bertungkus-lumus membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah, malah membentuk negara ini mengikut acuan serta budaya tersendiri.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana tahun ini kita masih berpeluang untuk sama-sama menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-61 apatah lagi ia disambut ketika kita berada di dalam era Malaysia Baharu,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.
Mohamed Azmin berkata, kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keharmonian serta kestabilan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kata beliau, ekonomi memainkan peranan amat penting dalam memastikan kemerdekaan sesebuah negara kekal utuh dan menjadi cegah rintang daripada anasir tidak diingini.
Beliau memetik ahli ekonomi, Milton Friedman dalam makalahnya, Capitalism and Freedom pada 1962, penyusunan ekonomi memainkan peranan besar untuk mengisi aspirasi kemerdekaan yang telah dicapai oleh bapa-bapa pengasas Malaysia. – MYNEWSHUB.TV
*Sekadar Video Hiasan..