KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) akan menyebabkan rakyat Selangor terpaksa menanggung beban yang besar.
Bekas orang kuat PKR itu mendakwa, ini kerana pembelian SPLASH berjumlah RM2.55 bilion membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013.
Selain itu, beliau menjangkakan keadaan itu memungkinkan kerajaan negeri akan mengkaji atau menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang dilaksanakan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambilalih kerajaan pada 2008.
Justeru, beliau tidak terkejut dengan pengumuman kerajaan Selangor untuk mengambilalih SPLASH.
“Itu sememangnya antara sebab saya diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014 kerana kecenderungan kepemimpinan PKR yang mahukan tawaran tinggi diberikan kepada SPLASH.
“Ia juga meletakkan beban dan tanggungjawab untuk pembayaran terbabit ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.
“Justeru, atas dasar menjaga kepentingan rakyat, saya menolaknya,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.
Pada 5 November 2016, BH Online melaporkan Abdul Khalid menafikan kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti yang didakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menggulung Belanjawan 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehari sebelum itu.
Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor ketika itu, untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion terhadap ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.
Hari ini, detik bersejarah tercipta apabila kerajaan Selangor memuktamadkan pengambilalihan SPLASH bernilai RM2.55 bilion.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang berkata nilai pengambilalihan SPLASH yang ditawarkan itu adalah jumlah pengurangan dengan diskaun sebanyak 28 peratus.
Mengulas lanjut pengambilalihan SPLASH, Abdul Khalid mendakwa, strategi kerajaan negeri sekarang memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan dan pampasan yang berlebihan.
Sehubungan itu, beliau turut mendoakan supaya rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan besar yang berlaku. – BH Online