BAYANGKAN anda berjalan di kawasan anak muda di Haji Lane, Singapura… tiba-tiba terserempak dengan Papa Rock, Ramli Sarip yang sedang hirup secawan teh tarik di salah satu kedai di situ.
Besar kemungkinan, anda akan disambut dengan salam dan lambaian serta juga berpeluang meluangkan beberapa minit untuk bersembang dan ber-selfie atau ber-wefie dengan legenda rock dunia Melayu itu.
Namun, Ramli sebenarnya bukan sekadar ambil angin. Beliau sebenarnya sudah membuka sebuah kedai makan di situ. Ia merupakan satu usahasama dengan tiga sahabat lain dan baru dibuka sejak dua bulan lalu!
Diberi nama Safari Steak House, kedainya tidak besar, tetapi terasa suasananya yang tenang. Semasa MediaCorp berkunjung ke sana untuk menemu bual Abang Ramli, ia kelihatan dapat menarik pelanggan yang singgah.
Ramai datang untuk melihat-lihat menu makanan dan duduk menikmati hidangan. Kedai yang terletak di No.57, Haji Lane itu hanya mempunyai sekitar 10 meja dan kira-kira 20 hidangan dalam menunya.
Sesuai dengan jiwanya sebagai ‘Rocker sejati’, dinding restoran tersebut juga penuh dengan poster-poster rock serta ikon muzik lain. Dari Led Zeppelin, ACDC, Guns N Roses, Pink Floyd sehinggalah ke Beatles dan Bob Marley.
Sejujurnya, semua disusun cantik dan tidak keterlaluan. Kata orang, tidak ‘semak’. Apa yang pasti, Ramli adalah penyanyi Melayu terkini membuka kedai makan atau restoran di kawasan Arab Street sejak akhir-akhir ini.
Penyanyi rap, Sheikh Haikel (FatPapas) dan Taufik Batisah (Chix Hot Chicken) sudahpun terlebih dahulu berbuat demikian di laluan terkenal dalam kalangan pelancong apabila berkunjung ke Kota Singa tersebut.
Ketika MediaCorp bertanyakan tentang langkahnya untuk turut bergelar ‘taku makanan’, ini kongsi Ramli dengan rendah diri: “Benda ini, kita nak benda yang diberkati, tak ada terfikir nak buat besar-besar…
“Asalkan tidak membebankan, ikut kemampuan masing-masing.” Selain makanan Barat seperti stik dan ‘Fish and Chips’, hidangan lain seperti Sabsuka, Laksa dan Nasi Goreng Kampung juga antara hidangan utama di kafe itu.
Bagaimana agaknya rasa makanan yang dijual? Kami mencuba Sabsuka dan Nasi Goreng Kampung yang disediakan Safari Steak House. Rasanya cukup memuaskan. “Makanan nak kena sedap, senang sahaja,” katanya ringkas.
Ramli yang bakal mencecah usia 66 tahun bahkan tidak menyangka akhirnya berjaya mendapatkan kedai tersebut selepas pernah sama-sama berkongsi keinginan untuk membuka premis di sekitar kawasan itu.
“Kawasan ini bagus, tempat membangun serta banyak kegiatan, seni dan sejarah. Jadi kami manfaatkan perkara ini,” terang Ramli, yang juga gemar kepada makanan.
Sebenarnya, kedai yang dihuni pemilik sebelum ini menggunakan nama ‘Safari’. Secara kebetulan, ia juga nama ayah salah seorang sahabat Ramli sendiri yang sama-sama ‘menemui’ kedai itu.
Sahabat yang dimaksudkan itu ialah Din Safari yang juga pemuzik – pemain bes gitar. Ibu beliau pernah jual nasi campur di kawasan pawagam lama Rex. Jelas, berniaga makanan adalah sebahagian daripada darah dagingnya.
Lantaran itu, nama ‘Safari’ dikekalkan kerana kaitan itu, malah Din kini juga menjadi tukang masak di kedainya! “Tempat ini kecil tetapi memang Allah kabulkan doa salah seorang daripada kami kerana kami dapat kedai ini.
“Ia berlaku pada hari Jumaat sekitar bulan Mei. Saya suka ‘jiwa’ kawasan ini,” jelas Ramli Sarip lagi. Rakan kongsi empat sekawan itu mengeluarkan modal berjumlah lebih $80,000 bagi kedai tersebut.
Langkah mereka membuka kafe di sekitar kawasan Arab Street boleh dianggap sebagai sesuatu yang berani. Ini memandangkan wujudnya berpuluh-puluh kafe berkonsep menarik dan halal, yang memenuhi cita rasa anak muda.
Apakah Ramli Sarip tidak gentar dengan persaingan di situ dan tidak takut akan akhirnya gulung tikar nanti?
“Saya tak pernah fikir tentang persaingan. Saya anggap benda ini rezeki. Bagi satu jalan raya itu, (setiap kedai boleh menjual) perkakas pancing (tapi) rezeki masing-masing.
“Hidup kena banyak-banyak bersyukur dan berterima kasih. Lagi satu, perlu yakin – yakin rezeki daripada Allah,” katanya lagi.
Seorang figura yang cukup terkenal di Singapura dan Malaysia dengan suara lantangnya di atas pentas, mengapa pula Ramli Sarip enggan menguar-uarkan pembukaan kafe ini? Mengapa senyap-senyap?
“Kami tunggu, kena tempah tempat khas bagi kek dan pembuat kopi, jadi cantik. Kami tukar perlahan-perlahan, jadi sekurang-kurangnya bila orang datang, kami dah bersedia, agak stabil, masak konsisten dan rasa pun kekal sama,” kongsi bekas penyanyi Sweet Charity ini.
Malah, beliau menjelaskan kepada MediaCorp, kafe ini bukanlah ‘Pelan B’ kepada kerjaya muziknya. Ini bukan tanda ‘persaraan’ walaupun mengikut umurnya sekarang, beliau dianggap sebagai warga emas.
“Kita mesti ada hobi, ada benda yang dibuat pada masa lapang. Kami buat sebab kami berasa ‘syok’. Saya sokong (kawan-kawan) kalau benda itu betul,” katanya, yang bakal mengadakan konsert 30 tahun ‘Doa Buat Kekasih’ bersama Khatijah Ibrahim di Esplanade pada 17 Oktober ini.
Yang jelas, “makanan adalah seperti muzik” bagi Ramli Sarip. “Tak boleh bohong. Telinga kalau cakap (muzik itu) sedap, sedaplah. Sama macam makanan, ” jelasnya.
Beliau malah bakal mengeluarkan dua single baru bertajuk ‘Sentosa Di Kubah Hayat’ yang berkisar tentang keamanan, serta ‘Srikandi Zaman’ berlandaskan “wanita agung” dalam sejarah Islam.
Bahkan, Ramli menggambarkan secara ringkas pembukaan kafe ini dalam tiga perkataan: “Makanan, minat dan persahabatan.” Jadi, apa lagi antara keistimewaan Safari Steak House untuk para peminat Papa Rock kita ini?
Semestinya, mereka bukan sahaja dapat bertemu empat mata dengan Ramli Sarip lebih sering, malah mungkin berpeluang melihat sisi beliau yang lebih santai di luar pentas sambil bertemankan secawan teh tarik