KUALA LUMPUR – Waktu operasi perkhidmatan LRT, MRT dan bas di beberapa stesen terpilih akan dilanjutkan pada malam 30 Ogos sehingga 1 pagi 31 Ogos sempena konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Dataran Merdeka.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata stesen LRT dan MRT terlibat ialah LRT Masjid Jamek, LRT Bandaraya, LRT Pasar Seni dan MRT Pasar Seni.
“Perkhidmatan bas RapidKL juga akan dilanjutkan operasi dari hab bas Pasar Seni dengan bas terakhir berlepas 15 minit selepas tren terakhir berlepas,” menurut kenyataan itu.
Laluan terlibat adalah ke Taman Jasa Utama (nombor laluan 173), Taman Melawati (220), Pandan Mewah (300), Terminal Kajang (450), Taman Sri Muda (751), Taman Medan (781), Taman Sri Manja/Taman Sri Sentosa (640), Puchong Utama (600), Kota Damansara (780) dan Taman Dato’ Senu (180).
“Lima bas pengantara MRT pula akan beroperasi sehingga 2 pagi melibatkan nombor laluan T801 (MRT Kwasa Sentral-Subang Bestari), T102 (MRT Sungai Buloh-Aman Putri), T103 (MRT Sungai Buloh-Damansara Damai), T460 (Bandar Teknologi Kajang-MRT Stadium Kajang), dan T464 (Teras Jernang-MRT Kajang,” kata kenyataan itu.
Menurut Prasarana, stesen LRT dan MRT lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun pengguna masih boleh keluar melalui stesen tersebut.
“Bagi memudahkan perjalanan, Prasarana menyarankan agar pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesesakan di mesin token dan diminta mematuhi peraturan ketika berada di stesen,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan Prasarana di talian 03-78852585. – BERNAMA