ACCRA – Persatuan Pengadil Ghana (RAG) telah menggantung 74 pengadil kerana pembabitan mereka dalam rasuah, termasuk mengatur perlawanan, seperti yang didedahkan dalam satu dokumentari berkaitan sukan bola sepak Ghana oleh wartawan siasatan, Anas Aremeyaw Anas.
Turut digantung ialah penolong pengadil dan bekas pengadil, demikian menurut kenyataan RAG yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Agung persatuan itu, Kwao Sampson.
Kenyataan itu menyebut, bagaimanapun, penggantungan mereka adalah bersifat sementara kerana menunggu keputusan akhir Jawatankuasa Disiplin RAG.
Menerusi pendedahan eksplosif oleh Anas pada Mei tahun ini, ramai anggota pentadbiran sukan bola sepak negara itu didapati terlibat, menyebabkan Presiden Ghana bertindak menggantung Persatuan Bolasepak Ghana kerana presidennya, Kwesi Nyantakyi, yang juga anggota eksekutif FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), telah dirakam menerima suapan.
Nyantakyi kemudian telah dipaksa meletak jawatan serta-merta. – BERNAMA