TAWAU – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Kuhara, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata mangsa, Hafique Aiman Hermanshah, 18, meninggal dunia di hospital kerana kecederaan pada pelbagai bahagian tubuh (polytrauma).
“Siasatan awal mendapati kemalangan 10.10 malam itu berlaku semasa pemandu kereta, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Pusat Komersil Unijaya, dalam perjalanan balik ke rumah di Taman Kuhara Indah.
“Namun setibanya pemandu itu di simpang jalan masuk ke Jabatan Haiwan, tiba-tiba motosikal mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan keretanya,” kata Fadil dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal juga mendapati pemandu kereta itu tidak mabuk namun sampel darahnya diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA