LAWAS – Seorang remaja lelaki kelainan upaya ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kayu berkembar yang menempatkan pekerja ladang kelapa sawit di Ladang Trusan, Jalan Bundar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketika kejadian 9.40 pagi itu, Yoyo Aminun, 15, berseorangan di rumah tersebut kerana kedua ibu bapanya dan penghuni lain keluar bekerja di ladang.
Rumah berkembar itu didiami 12 orang dengan sebuah rumah dihuni tujuh sekeluarga dan satu lagi lima orang, katanya dalam kenyataan, di sini.
“Punca kebakaran belum dikenal pasti dan mayat mangsa sudah dihantar ke Klinik Trusan sementara menunggu proses bedah siasat dilakukan,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Zaki Husin, mayat mangsa dijumpai di dalam bilik mandi setelah kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya. – BERNAMA