BUTTERWORTH – Remaja perempuan yang menendang seekor anak kucing dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini.
Hukuman itu ditetapkan terhadap tertuduh berusia 16 tahun oleh Majistret Che Rohana Ismail dalam prosiding yang diadakan secara tertutup selepas remaja terbabit mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa tanpa sebab munasabah menendang seekor kucing berusia sebulan jam 1 tengah hari pada 4 Mac 2018.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang kedai perabot, Lorong Seri Menerong 4, Taman Seri Menerong, Tasek Gelugor di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) (Akta 647) yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum berjumlah RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, remaja berkenaan bernasib baik kerana dia dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 601) berikutan masih di bawah umur.
Remaja terbabit yang berbaju biru ditemani ibu bapanya kelihatan tenang ketika berada di luar perkarangan mahkamah dan sejurus hukuman dikenakan dia dilihat berjalan bersama ibunya dan cuba elak daripada wajahnya dirakam kamera.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Zamri Ishak.
Perbuatan remaja berkenaan dirakam sebelum video berdurasi 13 saat itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman daripada netizen.
Kucing berkenaan yang bernama Mimi kini berusia enam bulan dan berada di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. – BH Online