BATU PAHAT – Respon kepada kehendak semasa industri merupakan usaha yang boleh dilakukan bagi mengukuhkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) seiring dengan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata ini kerana pergerakan teknologi berubah dengan pantas menyebabkan modul atau kokurikulum ditawarkan juga harus berubah.
“TVET players mesti respon secepat mungkin dengan kemahuan industri, kita tidak boleh berdiam sekiranya mereka complain (mengadu).
“Pihak industri juga harus bersedia membayar gaji yang lebih sesuai dengan kemahiran yang dimiliki graduan TVET,” katanya kepada Bernama pada konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Pada Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Nurul Izzah Anwar berkata terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki program berkenaan bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.
Nurul Izzah berkata kerajaan akan melihat industri dan institusi penyelidikan untuk menyertai atau mengetuai transformasi TVET.
Mohd Ismail berkata, selain itu cabaran utama ketika ini ialah mengubah pandangan orang ramai terutamanya ibu bapa bahawa bidang itu sebagai bidang kelas kedua.
“Ibu bapa masih memikirkan jurutera, peguam dan bidang konvensional lain sebagai peluang masa hadapan tetapi kalau kita lihat negara maju, mereka menyasarkan bidang TVET sebagai bidang utama untuk anak mereka,” katanya.
Mohd Ismail, yang juga antara anggota jawatankuasa TVET, berkata pihaknya diberikan masa sehingga Disember ini untuk menyiapkan laporan mengenai langkah pemerkasaan program itu.
Terdahulu pada majlis itu, Osman menyampaikan sijil dan diploma kepada 1,029 graduan dari 12 buah kolej komuniti di negeri ini yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing. – BERNAMA