TURIN – Cristiano Ronaldo menandakan kemunculan sulungnya untuk Juventus dengan meledak gol ketika pasukannya itu menewaskan pasukan ‘adik’ Juventus B dalam aksi tahunan pramusim.
Pertembungan antara Juventus A dan Juventus B, diadakan setiap tahun di bandar kecil, Villar Perosa di luar Turin.
Penyerang berusia 33 tahun itu yang ditandatangani daripada Real Madrid dengan yuran perpindahan £99.2 juta, menyumbat gol pertama seawal minit kelapan untuk membantu Juventus berkenduri gol membelasah pasukan adik mereka itu 5-0.
10 minit kemudian, dia turut memainkan peranan untuk gol sendiri Riccardo Capellini, diikuti dua jaringan Paulo Dybala pada minit ke-31 dan 40 sebelum Claudio Marchisio melengkapkan kemenangan pada minit ke-53.
“Hari yang menakjubkan di tempat istimewa yang menyimpan cerita kejayaan Juventus,” tulis Ronaldo dalam Twitter miliknya. “Terima kasih kepada semua penyokong atas tanda sokongan yang hebat.”
Perlawanan itu bagaimanapun dihentikan selepas 72 minit susulan tradisi tahunan untuk membenarkan penyokong berlari masuk ke dalam padang.
Keluarga Agnelli yang memegang pemilikan juara Seria A itu, mempunyai tanah di Villar Perosa dan menjemput pasukan untuk mengadakan aksi persahabatan di situ sejak 1955.
Ronaldo akan membuat kemunculan sulung kompetitif buat Juventus pada Sabtu ini apabila Juventus bertandang ke Chievo Verona bagi aksi sulung Serie A. – Agensi