PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini beliau tidak campur tangan hal ehwal dalaman parti politik lain.
Beliau diminta mengulas dakwaan anggota Parlimen PKR bahawa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin cuba menghalang presiden baharu PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.
“Ini merupakan dakwaan yang bagus. Orang itu perlu membuktikannya. Saya tidak pernah bercakap mengenai perkara itu dengan sesiapa. Saya menjauhkan diri. Saya tidak campur dalam urusan dalaman parti lain, ” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah di sini hari ini.
Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dilaporkan mendakwa bahawa Anwar akan menghadapi masalah mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir sekiranya Rafizi Ramli tidak berjaya menjatuhkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang.
Sebelum pengundian pada pada 9 Mei, pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju bahawa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang pilihan raya umum. Mereka juga bersetuju bahawa Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, akan mengambil alih jawatan daripada Dr Mahathir.
Ditanya mengenai jangka masa untuk membawa balik pesawat jet peribadi milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, Dr Mahathir berkata jet itu akan hanya dibawa pulang secepat mungkin setelah selesai pemeriksaan dan penyelenggaraan.
“Pesawat itu telah lama tidak bergerak dan tidak selalu diterbangkan. Jadi pesawat itu harus diselenggara, diperiksa dan diperiksa sekali lagi. Setelah selesai, pesawat akan dibawa ke sini (Malaysia)” tambah beliau.
Dr Mahathir telah dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan sedang membuat persiapan untuk membawa pulang pesawat itu yang disita oleh pihak berkuasa Singapura pada 2017 dan tersadai di lapangan terbang Seletar.
Dilaporkan bahawa pesawat Bombardier Global 5000 yang disita itu merupakan sebahagian daripada aset bernilai AS$1 bilion yang diperolehi menerusi penyelewengan dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Tentang dakwaan sesetengah rakyat Malaysia yang merasakan kerajaan baharu menghabiskan terlalu banyak masa membanteras rasuah dan bukan janji-janji lain, Dr Mahathir berkata kerajaan telah dan sedang melakukan banyak perkara tetapi pihak media hanya berminat pada anti-rasuah, 1MDB dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Jika anda tanya apa lagi yang kami sedang lakukan, saya boleh beritahu anda, agak banyak. Ada banyak kerja yang perlu dibuat. Ia bukan cuma 100. Ianya mengenai pilihan raya umum akan datang. Kita akan melakukan banyak perkara baik untuk negara ini, bukan dalam 100 hari tetapi dalam 1,000 hari.” katanya apabila ditanya mengenai langkah ke hadapan PH selepas agenda 100 hari.
Mengenai lawatannya ke China minggu ini Dr Mahathir berkata :” Kita sedang meneliti perjanjian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu. Kalau kita boleh batal, kita batal, atau ubah suai kita ubah suai. Kita mungkin tangguhkan sesetengah daripadanya. Tetapi untuk melanggar sesetengah perjanjian kita terpaksa membayar banyak wang.
“Tetapi yang paling penting untuk kita menjimatkan wang. Kerajaan terdahulu telah meminjam dalam jumlah yang besar dan kita perlu mengurangkan jumlah pinjaman. Sekiranya tidak kita membayar hutang kita akan jatuh bankrap,”.- BERNAMA