BUKAN rahsia lagi, Amerika Syarikat (AS) semakin bimbang dengan peningkatan pengaruh China di seluruh dunia, terutama di rantau Asia dan Pasifik yang merupakan kawasan berdekatan wilayah China.
Di beberapa buah negara, isu berkaitan pelaburan China dijadikan isu ancaman dan penjajahan China oleh media dan kerajaan AS.
Walaupun pelaburan dilaksanakan menurut peraturan dan persetujuan kedua-dua pihak China dan negara terbabit, pihak Barat dan rakan-rakan mereka di negara terbabit memberi gambaran penjajahan oleh China.
Barat sendiri pernah dan masih terus melabur dan memberi bantuan kepada pelbagai negara membangun, dan bantuan ini juga terikat dengan pelbagai syarat.
Di lokasi-lokasi di bawah ini, projek-projek mega China menjadi sebab kenapa AS berasa amat terancam dengan kebangkitan China ini.
Sri Lanka
Lokasi strategik Sri Lanka bersebelahan sekutu AS, India, dan di tengah-tengah Lautan Hindi memberi kelebihan besar kepada strategi geopolitik dan perdagangan China.
Laluan perdagangan dunia ini dapat diakses dan boleh dipantau dengan mudah oleh China sekiranya tentera mereka ditempatkan di sini.
Lapangan terbang dan pelabuhan dibina China di sini juga cukup memberi kelebihan kepada China di Lautan Hindi.
Pakistan
Hubungan AS dengan Pakistan telah lama merosot ekoran penglibatan Pakistan dengan Taliban di Afghanistan. Pakistan yang pernah menjadi penerima bantuan ketenteraan terbesar dari Washington satu masa dulu bermula selepas 2001 kini sudah berkiblat politik ke China.
Kedudukan sebagai akses ke Lautan Hindi menjadikannya lokasi pelaburan berbilion dari China. Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) ialah salah sebuah projek terpenting untuk menjayakan rancangan Belt and Road China.
Myanmar
Myanmar juga merupakan negara yang mempunyai pantai di Lautan Hindi dan bersempadan darat dengan China, menjadikannya akses penting kepada China.
Myanmar sudah lama bergantung pada China untuk bekalan senjata, bantuan lain dan sokongan politik di Majlis Keselamatan PBB.
Walaupun Myanmar sudah membuka ekonominya dan tidak mahu bergantung pada China, kedudukan geografinya memaksa Myanmar kekal sebagai sekutu baik China.
Malaysia
Malaysia terletak di laluan penting perdagangan bagi China, yakni Selat Melaka. Laluan laut ini masih saluran perdagangan minyak terpenting membawa minyak dari Asia Barat ke China.
Kedudukan geografi ini juga menyebabkan Malaysia menjadi lokasi projek penting Belt and Road.
Semenanjung Malaysia juga merupakan titik tengah antara Lautan Hindi dan Pasifik. Politik dalaman yang stabil selama ini juga menjadikan Malaysia pilihan bagi China untuk mengadakan kerjasama dan pelaburan.
Pulau-Pulau Pasifik
Pulau-pulau di Pasifik seperti Timor-Leste, Papua New Guinea, Fiji, Vanuatu, dan sebagainya mungkin dianggap negara kecil yang tidak penting, terutama memandangkan negara terbabit juga tidak mempunyai kuasa politik di peringkat antarabangsa.
Tetapi sejak sedekad lalu, China telah menabur jutaan dolar bantuan kepada negara terbabit, menjadikan negara berdekatan Australia itu semakin rapat dan bergantung pada China. – Mynewshub.tv