KOTA KINABALU – Penduduk kampung yang ternakan unggas mereka dilupuskan bagi membendung penularan wabak selesema burung di Tuaran dekat sini, akan diberi pampasan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong.
Beliau berkata semasa operasi mengawal virus tersebut daripada merebak, butiran penduduk yang terjejas sudah dicatat supaya kerajaan negeri dapat membuat pembayaran pampasan berkenaan.
“Kita akan berbincang dan memutuskan jumlah pampasan kepada penduduk kampung terbabit.
“Kita sudah mewujudkan bilik operasi untuk merekod dan mendaftarkan penduduk kampung berkenaan dan berapa banyak ayam mereka yang dilupuskan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Wong berkata bilik operasi tersebut dibuka pada 4 Ogos lepas, selepas Tuaran diisytiharkan sebagai kawasan wabak penyakit selesema burung, sehari sebelum itu.
Beliau berkata kira-kira 2,990 ayam dan 3,500 telur ayam dari ladang ternakan di Kampung Kaulan, Tuaran dilupuskan setakat ini, manakala 1,150 ternakan unggas dan 485 telur haiwan tersebut milik penduduk dari lima kampung sudah dimusnahkan.
Kampung terjejas di Tuaran adalah Kampung Tambalaung, Kampung Dang Sangai, Kampung Bukit Giling, Kampung Telibong dan Kampung Kauluan, yang berada dalam lingkungan radius lima kilometer daripada wabak penyakit itu dikesan bagi membendung wabak selesema burung, katanya.
“Kita akan terus memantau kawasan-kawasan berkenaan. Kita meminta kerjasama daripada orang ramai, terutamanya melaporkan mengenai kematian mengejut ternakan ayam supaya kita dapat mengesan wabak selesema burung,” katanya sambil menambah setakat ini tiada laporan atau tanda-tanda jangkitan virus itu terhadap manusia.
Wong juga berkata eksport ayam telah dihentikan berikutan wabak penyakit tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh sebulan akan datang yang akan diselaraskan dengan keperluan China bagi mengimport sarang burung walet dari Sabah.
Beliau berkata usaha tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk setempat, dan latihan akan disediakan pihaknya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada mereka yang berminat menceburi perniagaan sarang burung walet. – BERNAMA