PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas ketua pengarah sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bergelar “Datuk” kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut sumber wanita berusia 61 tahun itu ditahan pada pukul 4.15 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas hadir untuk memberi keterangan.
Sumber itu berkata siasatan awal mendapati wanita tersebut terlibat bersama-sama tujuh lagi pegawai kanan yang direman hari ini kerana telah menyalahgunakan peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata wanita itu akan direman di Mahkamah Majistret di sini esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pagi tadi, seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar “Datuk” dan enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di JPM direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14.
Kesemua lelaki berusia 34 hingga 49 tahun itu ditahan SPRM antara 11.30 pagi dan 10 malam semalam. Enam PTD itu ditahan di JPM manakala “Datuk” tersebut ditahan di ibu pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.
Jumlah sebenar dana yang diselewengkan belum dapat dipastikan. – BERNAMA