KUALA LUMPUR – Seni lukisan mampu menyatukan rakyat dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara, kata isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Beliau berkata ini kerana hasil kreatif yang dicipta seorang pelukis mampu dihayati dan ditafsir sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan warna kulit.
āSeni lukisan boleh menyatukan rakyat kerana melalui lukisan seseorang itu boleh meluahkan perasaan mereka sama seperti alunan muzik. Jika ada kedua-duanya (lukisan dan muzik), anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada seseorang,ā katanya ketika merasmikan Pameran āTeh Tarik with The Flagā di Balai Seni Visual Negara di sini hari ini.
Pameran yang dianjurkan Balai Seni Visual Negara dengan kerjasama Wei Ling Gallery bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 itu berlangsung selama sebulan bermula hari ini.
Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata pameran itu menampilkan hasil seni 13 pelukis tempatan yang mengangkat Jalur Gemilang sebagai lambang menyatakan semangat patriotik kepada negara.
āPameran ini daripada rakyat dan reaksi rakyat terhadap bendera kita yang melambangkan identiti negara di samping menampilkan budaya-budaya yang digemari rakyat.
āKarya dipamerkan juga menyatakan gambaran, luahan dan ramalan pelukis mengenai negara yang dicintainya,ā kata beliau.
Pameran tersebut dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang. – BERNAMA