MAKKAH – Seramai 50 jemaah haji Malaysia terpilih di bawah program Jemaah Haji Warga Emas Tabung Haji (TH) yang akan mendapat bantuan dan bimbingan khusus daripada petugas TH semasa operasi masyair bagi musim 1439H.
Pengurus Kaunseling TH bagi musim 1439H, Rashidah Ahmad berkata jemaah ini dipilih daripada 114 permohonan dengan menjalani sesi temuduga yang berlangsung sebanyak tiga sesi di mana calon-calon dinilai mengikut kriteria yang ditetapkan.
“Ia antara program tanggungjawab sosial korporat TH yang mula dilaksanakan beberapa tahun yang lepas, dengan fokus kepada jemaah haji yang mempunyai masalah dari segi kesihatan, psikologi dan fizikal.
“Mereka ini perlu dibantu dalam menguruskan diri bagi memastikan mereka dapat menjalankan ibadah masyair ini dengan keadaan yang paling sempurna,” katanya pada sidang media program Jemaah Haji Warga Emas di sini, hari ini.
Petugas yang terlibat membantu dalam program Jemaah Haji Warga Emas ini terdiri daripada petugas sektor kewangan TH dan Pembantu Petugas Haji Tanah Suci (PATUH), yang akan membantu jemaah haji semasa di Arafah sehingga pulang ke Makkah.
Jemaah yang terlibat akan dibantu secara khusus oleh petugas TH, mengikut tahap kesihatan dan keperluan bimbingan, yang melibatkan antara satu petugas untuk satu jemaah atau dua petugas untuk lima jemaah.
Jemaah haji yang terpilih untuk menyertai program ini dibawa ke penginapan ibu pejabat TH Makkah dari hotel penginapan masing-masing sehari sebelum tarikh bertolak ke Arafah untuk membuat persiapan dan berkenalan dengan penjaga mereka.
“Jemaah berkenaan dijadual bergerak ke Arafah pada 5.00 petang 8 Zulhijjah, bersama-sama petugas program yang ditugaskan kepada jemaah ini.
“Semasa di sana (Arafah) nanti, perjalanan ibadah jemaah terlibat akan dibantu oleh petugas tadi, di samping petugas pembimbing ibadah haji tanah suci (PIHTAS) dari segi solat dan amalan zikir,” katanya.
Jemaah program ini akan dihantar semula ke pengurus maktab di hotel penginapan masing-masing setelah operasi masyair selesai di mana sepucuk surat akujanji penerimaan semula jemaah kepada maktab akan ditandatangani oleh pengurus maktab yang terlibat selepas penyerahan jemaah.
Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia daripada 12 maktab telah mula bergerak kira-kira pukul 8.00 pagi tadi (1.00 tengah hari waktu Malaysia) 8 Zulhijjah 1439H (19 Ogos, 2018) secara berperingkat untuk melaksanakan ibadat wukuf, bermabit dan melontar jamrah di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Setiap maktab akan dibekalkan dengan 22 buah bas yang akan berulang-alik membawa jemaah dari Makkah ke Arafah sebanyak tiga pusingan dan dijangka kesemua jemaah akan tiba di Arafah selepas waktu Isyak. – BERNAMA