SHANGHAI – Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah sila beri laluan.
Penyerang terhangat dalam bola sepak dunia ketika ini adalah ‘Diva-9-gol’ Wang Shanshan dari China.
Shanshan menerima gelaran tersebut daripada media dan peminat bola sepak China selepas meledak sembilan gol dalam tempoh 29 minit ketika dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Dia membantu skuad bola sepak wanita China membelasah Tajikistan 16-0 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Isnin lalu.
Setakat ini penyerang sensasi itu telah menjaringkan 11 gol, termasuk ketika membantu China membenam Hong Kong 7-0 dalam aksi pembukaan (17 Ogos) dan menumpaskan Korea Utara 2-0 semalam untuk mara ke suku akhir.
Skuad bola sepak wanita China belum dibolosi dalam tiga perlawanan, sekali gus memberi amaran kepada Thailand, yang bakal menjadi lawan mereka pada suku akhir di Palembang, Sabtu ini.
Shanshan, 28, menjadi perbualan hangat di China sehingga ada yang mencadangkan supaya dia bermain untuk skuad lelaki kebangsaan negara itu.
Sentuhannya semua menjadi, termasuk menggunakan tumit yang menjadi identiti Messi dan Ronaldo.
“Dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, Wang Shanshan meledak 11 gol dan menjadi pemain bola sepak wanita China paling berpengaruh.
“Dalam perlawanan lain yang lebih genting, Shanshan menjadi tonggak untuk membantu skuad wanita memenangi emas,” tulis akhbar dalam talian China, Tencent Sports. – AFP