KANTOI… Semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangga dakwa ada bertemu pegawai Singapura bagi berbincang isu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Beliau ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen mendakwa kononnya kelmarin ketika berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin di republik itu turut ambil peluang menemui pegawai kanan rasmi Singapura untuk bincang mengenai HSR.
“Ia berlangsung dengan positif,” kata Mohamed Azmin merujuk perbincangan tersebut selepas menziarahi Menteri Dalam Negeri itu yang kebetulan menjalani rawatan susulan penyakit kanser dihidapinya di Singapura minggu lalu,
Namun tidak sampai 24 jam, Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) menafikan ada mesyuarat dijadualkan dengan Malaysia bagi membincangkan kedudukan terkini projek HSR antara Kuala Lumpur dan republik tersebut.
Pihak MOT dipetik media negara tersebut juga menegaskan bahawa Mohamed Azmin langsung tidak bertemu para pegawai Singapura yang menyelia projek mega itu sekali gus cetus persoalan cepumas, betulkah ada pertemuan.
Ini berbeza daripada komen beliau sebelum ini menyatakan ia berlangsung hujung Julai. Beliau juga dilaporkan berkata, lawatannya ke Singapura konon menghasilkan perjumpaan positif dengan para pegawai kanan Singapura.
Meskipun demikian, MOT menegaskan bahawa belum ada tarikh yang diusulkan untuk mengadakan perbincangan dan Mohamed Azmin memang tidak bertemu dengan para pegawai Singapura berhubung projek berkenaan.
“Tidak ada pertemuan dijadualkan mahupun sudah berlaku antara Menteri Ehwal Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali dengan pegawai Singapura yang menyelia projek HSR,” menurut kenyataan rasmi MOT.
Untuk rekod, pejabat MOT Singapura tidak dibuka untuk sebarang urusan kerja rasmi pada hari minggu tetapi jika benar ada pertemuan, ia akan dapat liputan pihak agensi media rasmi, MediaCorp dan Singapore Press Holdings.
Kementerian itu menambah bahawa pihaknya sudah buat permohonan menerusi saluran diplomatik sejak 1 Jun supaya kerajaan Malaysia memberikan respons bertulis untuk jelas kedudukan pihaknya berhubung projek HSR.
“Pemerintah Singapura juga meminta perbincangan tentang Projek HSR diadakan selewat-lewatnya 31 Julai, jika Kerajaan Malaysia ingin berjumpa untuk membincangkannya,” tambah MOT lagi kepada media Singapura.
Pihak MOT turut menyatakan bahawa sehingga Isnin, kerajaan baharu Malaysia diterajui Pakatan Harapan (PH) belum memberikan penjelasan yang diminta oleh pemerintah Singapura mahupun menetapkan tarikh pertemuan.
Sebelum ini Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan Malaysia kononnya akan berbincang dengan Singapura tentang bagaimana untuk menundakan pelaksanaan projek HSR.
Beliau mendakwa projek itu “tidak beri manfaat” kerana Malaysia akan perlu bayar jumlah wang yang amat banyak. Kerajaan PH juga mendedahkan bahawa kos sebenar laluan kereta api itu konon ialah RM110 bilion (S$36.8 bilion).
Kos projek rel sepanjang 350 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu, seganda lebih tinggi daripada jumlah RM55 bilion (S$18 bilion) yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional terdahulu. – Mynewshub.TV