PUTRAJAYA – Skim insurans kesihatan sosial bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelompok B40 dan diperluaskan kepada kategori lain termasuk berpendapatan sederhana (M40).
Beliau menjelaskan beberapa siri perbincangan antara Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sudah dan sedang diadakan berhubung skim berkenaan.
“Pada September ini segala perincian berhubung pelaksanaan skim berkenaan akan dirumuskan supaya ia dapat dimasukkan dapat pembentangan Bajet 2019.
“Ketika ini kita masih dalam proses dan juga sedang membuat beberapa perincian lain termasuk mengenai sumber kewangan untuk membiayainya selain pelbagai isu yang perlu diselaraskan antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan BNM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly melancarkan aplikasi mudah alih MyOrtho dan MyGusi yang dibangunkan sebagai platform ke arah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai kesihatan pergigian.
Aplikasi berkenaan mengandungi pelbagai info interaktif, kuiz serta lokasi klinik pergigian berhampiran.
Mengulas lanjut katanya, skim insurans kesihatan sosial itu tidak sama dan tiada kaitan dengan skim 1Care 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Inisiatif ini adalah antara pencetus perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di negara ini.
“Kita hasilkan satu skim perlindungan kesihatan sosial yang bermula dengan B40 sebagai kumpulan sasar. Ia dalah satu skim lengkap yang bukan hanya membabitkan rawatan asas saja. Jadi harap semua bersabar, kita akan umumkan seara terperinci tidak lama lagi,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata skim insurans kesihatan memungkinkan kadar minimum antara RM10,000 hingga RM20,000 setahun diberi untuk setiap keluarga, merangkumi perbelanjaan perubatan dan caj rawatan apabila ditempatkan di wad.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang untuk menyiasat aduan berkaitan penggunaan bahasa Mandarin oleh doktor pakar pada sesi taklimat kepada kakitangan bawahan selepas sesi lawatan pesakit di wad sebuah hospital di negeri berkenaan. – BH Online