JAKARTA – Kontinjen Malaysia meneruskan prestasi cemerlang setelah meraih satu pingat emas dan dua gangsa pada hari ke-10 temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.
Regu lelaki negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) menyumbang emas tunggal pada hari ini setelah menewaskan regu Indonesia, 18-21, 22-20 dan 21-11 di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.
Kemenangan itu cukup bermakna untuk skuad negara yang menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun selepas kali terakhir memenangi acara berkenaan pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.
Trio memanah negara – Mohd Juwaidi Mazuki, Lee Kin Lip dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menambah kutipan gangsa setelah mengalahkan Taiwan, 225-223 pada aksi penentuan pingat gangsa acara compound berpasukan lelaki di Padang Memanah Gelora Bung Karno, Jakarta.
Gandingan ‘bidan terjun’ negara, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee turut menyumbang gangsa kedua pada hari ini, setelah menduduki tangga ketiga dalam acara 10m platform seirama wanita dengan catatan 310.80 mata di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.
Tambahan lima pingat hari ini menyaksikan kontinjen negara sudah meraih empat emas, lapan perak dan lapan gangsa sejak hari pertama pertandingan pada 19 Ogos lepas.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih tiga emas menerusi acara boling trio wanita dan Masters lelaki serta skuasy individu wanita; lapan perak dalam acara ekuestrian (dressage individu), boling trio lelaki dan berpasukan wanita, sepak takraw (regu berpasukan) dan skuasy individu wanita.
Tiga lagi pingat perak hadir dalam dua acara silat, iaitu kelas Putera E (65-70kg) dan kelas Putera B (50-55kg) serta berbasikal trek (pecut berpasukan lelaki).
Malaysia turut meraih enam gangsa yang disumbangkan atlet taekwondo, Yap Khim Wen dalam acara Poomsae individu wanita, Mohd Nafiizwan Adnan (skuasy perseorangan lelaki), S. Prem Kumar (karate-kumite bawah 60kg lelaki).
Tiga lagi gangsa Malaysia diperoleh dalam tiga acara silat, menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg), Muhammad Robial Sabri dalam kelas Putera I (85-90kg) serta gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Muhamad Afifi Nordin dalam acara Ganda Putera.
Dalam pada itu, juara bertahan China sah mengekalkan kejuaraan keseluruhan edisi ke-18 temasya sukan itu selepas kekal unggul menerajui carta kutipan pingat dengan 97 pingat emas, 64 perak dan 45 gangsa, diikuti Jepun (43-38-61) manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan pungutan 32-40-46.
Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dalam beberapa acara pada hari ke-11 pertandingan esok, antaranya berbasikal trek, paragliding dan terjun. – BERNAMA