PALEMBANG — Skuad sepak takraw negara hanya selangkah untuk melakar sejarah baru bagi menuai emas pertama negara pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila dengan mudah menundukkan Indonesia 2-0 pada saingan separuh akhir acara regu berpasukan, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, percaturan ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad yang mengubah taktikal dengan menurunkan regu kedua negara pada susunan pertama ternyata membuahkan hasil apabila regu yang diketuai Mohd Syazreenaqmar Salehan tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjinakkan regu pertama Indonesia dengan 21-17, 21-13.
Regu utama negara dibarisi oleh Mohammad Shahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) yang turun pada susunan kedua pula menghadapi tentangan sengit daripada regu kedua Indonesia yang diketuai oleh Hendra Pago.
Set pertama menyaksikan regu negara tunduk 16-21, namun hasil semangat dan iltizam yang tinggi, mereka bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan catatan mata 21-18, 21-14 untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir yang akan berlangsung esok.
Pada pentas akhir nanti, pertembungan umpama buku bertemu ruas apabila Malaysia akan berjumpa musuh tradisi dan juara bertahan Thailand yang mudah menjinakkan India 2-0 pada satu lagi saingan separuh akhir yang dijalankan serentak.
Sementara itu, Abdul Talib berkata perubahan taktikal pada perlawanan itu berpandukan kepada prestasi semasa regu negara dan jurang di antara regu kedua dan ketiga tidak mempunyai perbezaan yang ketara.
“Saya mengambil keputusan untuk meletakkan Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Mohd Syazreenaqmar dan Muhammad Norhaffizi Abd Razak (perejam) pada susunan regu pertama kerana melihat prestasi mereka ketika menentang Korea Selatan lebih menonjol.
“Manakala bagi regu utama negara, memang saya meletakkan di susunan kedua kerana Indonesia juga menurunkan regu utama mereka pada susunan kedua,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan.
Menurut beliau, kekalahan regu utama negara pada set pertama adalah kerana terdapat sedikit masalah kepada Muhammad Syahir yang mengalami kekejangan pada otot belakang kaki kirinya.
“Syahir pun tidak menyatakan beliau mengalami kekejangan di awal permainan, jadi saya cuma menasihatinya untuk terus berusaha dan pada set kedua dan ketiga beliau dapat atasi masalah itu dan berjaya mempamerkan aksi yang terbaik,” katanya. — BERNAMA