KUALA LUMPUR – Inovasi Pliant Cutleries dan Nifty Tray ciptaan lapan orang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) berjaya merangkul dua pingat emas dalam Japan Design and Invention Expo (JDIE) di Tokyo, Jepun pada 5 Ogos lepas.
Pelajar yang menyertai pertandingan itu, Nurin Irdina Haswanie Mohd Nazri, 16 berkata Pliant Cutleries ialah produk yang diinovasikan khusus untuk orang kelainan upaya (OKU) (kudung) untuk memudahkan mereka menikmati hidangan menggunakan konsep magnet bagi menggantikan fungsi tangan mereka.
“Manakala Nifty Tray atau dulang serbaguna pula ialah dulang yang direka khas bagi memudahkan proses penyediaan makanan di hotel, restoran, dan hospital termasuk mempunyai kebolehan untuk meningkatkan kestabilan makanan atau minuman di atasnya daripada terjatuh.
Ciptaan itu juga dapat mengelakkan kemalangan kecil seperti melecur apabila menyediakan makanan atau minuman yang panas.
“Melalui inovasi ini, mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih mudah tanpa perlu membebankan orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Nurin Irdina berkata idea rekaan Pliant Cutleries tercetus apabila melihat kesukaran OKU menjalani aktiviti harian dengan sendiri dan sering memerlukan bantuan manakala, kesusahan melihat pelayan restoran menghidangkan makanan dengan lebih cepat dan mudah tanpa menumpahkan makanan yang dibawa menyebabkan tercetusnya idea mencipta Nifty Tray.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMAPK, Musalmah Abu Bakar, 52, berkata penglibatan SMAPK dalam pertandingan itu adalah untuk mencungkil bakat pelajar dalam menghasilkan rekaan menggunakan barangan baharu atau sedia ada bagi memudahkan kehidupan seharian di samping mendedahkan mereka dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Dalam JDIE tersebut, SMAPK turut meraih pingat khas World Invention Intellectual Property Associations President Award (WIIPA President Award).
Selain Nurin Irdina, pertandingan berprestij itu turut disertai oleh lima lagi pelajar tingkatan empat iaitu Nurfarah Diyana Daud, Ain Nur Balqis Taharuddin, Ahmad Hadri Azizuddin, Nu’man Nor Azam, dan Faris Imadi Faizul Amin, serta dua pelajar tingkatan dua, Nur Insyirah Mohd Isham dan Wan Anis Mastura Wan Ahmad Rahimi dengan diketuai Norlela Mohammad sebagai guru pengiring.
JDIE adalah pertandingan berasaskan inovasi teknologi termasuklah seni dan reka bentuk yang disertai pelbagai negara di Asia dan Eropah antaranya Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Poland.
JDIE yang dianjurkan oleh WIIPA diadakan di Tokyo Big Sight Convention Center selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos. – BERNAMA