KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tenaga (ST) menumpaskan sebuah sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi elektrik hingga mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian kira-kira RM2 juta.
ST dalam satu kenyataan media berkata, sindiket berkenaan menjalankan kegiatan mencuri elektrik tersebut dengan mengusik pepasangan meter milik TNB pada premis perniagaan di sekitar Semenyih, Selangor.
“Kesan usikan pepasangan meter ini telah mengakibatkan TNB kerugian kira-kira RM2 juta.
“Operasi bersepadu yang diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasaan ST ini melibatkan lebih 100 kakitangan dari ST, Polis Diraja Malaysia (PDRM), TNB serta Polis Bantuan TNB.
“Sebanyak 14 premis perniagaan didapati melakukan kesalahan tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut ST, siasatan mendapati modus operandi premis yang terlibat hampir sama dengan premis yang pernah diserbu sebelum ini iaitu dengan membuat sambungan terus daripada bekalan milik TNB ke beban pengguna.
Selain itu, kata ST, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa premis Iain yang mengubahsuai pepasangan meter TNB.
Justeru, kata kenyataan itu, ST sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas pemilik akaun TNB serta pemilik premis yang berkenaan sebelum mengambil tindakan mahkamah.
Kata ST, perbuatan mengusik pepasangan elektrik adalah menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990, di mana jika didapati bersalah, hukuman denda sehingga RMI juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
“Bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya, denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
“ST mengingatkan agar semua pengguna elektrik tidak terlibat dengan aktiviti menggunakan tenaga secara haram yang boleh menyebabkan mereka diambil tindakan undang-undang,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.TV