MERIAH… Belum lagi dibuka secara rasmi tetapi ramai penduduk tidak sabar langgani cawangan Starbucks yang pertama di Kelantan semalam, setelah beroperasi lebih 20 tahun di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd. dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays ditukil media tempatan sebagai berkata, kafe baharu yang ke-282 di negara ini sepatutnya hanya akan dibuka bermula 17 Ogos.
Namun terdapat ramai pelanggan khasnya generasi muda sudah jenguk tinjau di luar premis tersebut yang terletak di gedung pasar raya besar Tesco Lembah Sireh dekat Kota Bharu itu jauh lebih awal kerana rasa begitu teruja.
“Disebabkan terlalu ramai pelanggan yang bertanya, jadi kafe ini dibuka awal sehari,” kata Quays yang turut luah perasaan keterujaan dengan sambutan hangat para penggemar kopi di Kelantan terhadap jenama antarabangsa itu.
Meskipun dibuka sehari lebih awal, pada hari pertama beroperasi 16 Ogos, premis itu hanya membuka pintunya kepada tetamu jemputan sahaja termasuk kumpulan petugas daripada pelbagai organisasi media tempatan.
“Kafe Starbucks di sini betul-betul istimewa kerana kesemua 12 orang pekerja perintisnya sendiri merupakan anak kelahiran Kelantan. Pengurus cawangan di sini juga malahan secara kebetulan adalah anak jati negeri ini.
“Dia sudah kerja 12 tahun di Kuala Lumpur dan apabila berpeluang balik ke negeri sendiri, dia amat gembira,” ujar Quays. Ia beroperasi dari 8.30 pagi hingga 10.30 malam dan tutup 11 malam pada hujung minggu atau cuti umum.
Lesen francais kafe itu di Malaysia dimiliki Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan turut dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan kafe di Kelantan dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Mungkin kita akan membuka sebuah lagi kafe sebegini di lokasi lain dengan konsep berbeza dan sebuah kios di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa,” katanya lagi. – Agensi/Mynewshub.TV