JOHOR BAHRU – TPM Technopark Sdn Bhd (TTSB) didapati tidak mencapai sasaran jualan tanah industri yang ditetapkan pada 2016 dan 2017 iaitu masing-masing sebanyak RM305.85 juta bagi 246.85 ekar dan RM412 juta (535 ekar).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 hari ini, subsidiari syarikat kerajaan negeri, Johor Corporation (JCORP), yang dilantik untuk menguruskan penjualan tanah bagi 31 kawasan perindustrian pada 2016 itu hanya berjaya menjual tanah seluas 200.63 ekar bernilai RM253.41 juta dan 180.72 ekar tanah bernilai RM202.07 juta pada 2017.
Keadaan ini lantas menyebabkan TTSB turut tidak mencapai sasaran hasil kutipan jualan iaitu RM223.19 juta bagi 2016 dan RM411.99 juta bagi 2017 kerana hanya memperoleh sebanyak RM190.65 pada 2016 dan RM117.35 juta pada 2017.
Laporan itu berkata ini berlaku antaranya kerana sebahagian tanah industri di Taman Perindustrian Sedenak telah dijual kepada Kerajaan Persekutuan dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Penjualan itu adalah kolaborasi antara kerajaan pusat dan JCORP bagi tujuan pembangunan Blue Project yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Sedenak Industrial Data Hub (SIDH).
Setakat 31 Dis 2017, kerja tanah (pembangunan platform) bagi projek itu, bagaimanapun siap dilaksana dengan kos RM55.60 juta, menurut laporan berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Menurutnya faktor persaingan dengan pembangunan kawasan perindustrian lain yang begitu pesat di sekitar Johor Bahru juga mempengaruhi jualan tanah industri tersebut.
“Terdapat sembilan kawasan industri telah dibangunkan pesaing TTSB di sekitar Johor Bahru, yang mana lima daripadanya menawarkan tanah industri pegangan bebas. Ini merupakan cabaran kepada TTSB memandangkan ia hanya menawarkan tanah berstatus pajakan 30 dan 60 tahun,” kata laporan itu.
Antara lain, laporan itu berkata ekoran tidak mencapai sasaran kutipan jualan tanah industri pada 2016 dan 2017, TSSB dianggarkan kehilangan peluang meraih hasil yuran pemasaran hingga RM8.28 juta daripada nilai kutipan jualan milik JCORP berjumlah RM276.41 juta.
Anggaran itu berdasarkan kadar minimum yuran pemasaran iaitu sebanyak tiga peratus daripada nilai kutipan jualan.
TTSB dalam maklum balas pada 6 Mac 2018 menyatakan telah cuba menangani kelembapan jualan pada 2017 dengan menawarkan pembaharuan pajakan kepada pelabur sedia ada dan berhasil membantu jualan bersih sebanyak RM89.63 juta, melibatkan 82.27 ekar tanah tanpa memerlukan kos perbelanjaan modal.
Akan tetapi, bagi memastikan TTSB mencapai objektif penubuhannya dan JCORP sebagai pemegang ekuiti turut memperoleh manfaat, pihak audit mengesyorkan agar TTSB memastikan sasaran terhadap jualan tanah industri yang diuruskan oleh ejen pemasaran mencapai tahap optimum. – BERNAMA