KUALA LUMPUR – Seorang anggota Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MyVOC) berlepas ke Lombok, Indonesia hari ini untuk menyertai Misi Kemanusian Belia Malaysia-Lombok bagi membantu mangsa gempa bumi di pulau itu.
Sukarelawan MyVOC itu Ibnu Rasyeed Mat Isa, 32, akan menyertai dua lagi sukarelawan Global Peace Malaysia (GPM) iaitu Syahrir Azfar Saleh, 31, dan Ahmad Hamizan Ahmad Horman, 24, yang sudah berada di sana sejak 31 Julai lepas.
Ibnu Rasyeed berkata beliau terpanggil untuk menyertai misi kemanusiaan ekoran gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter yang menggegar Nusa Tenggara Barat Indonesia pada pagi Ahad lepas dan meragut 14 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30. yang juga sukarelawan Majlis Belia Malaysia (MBM).
“Saya memang sudah biasa menyertai misi kemanusiaan, namun ini adalah kali pertama saya terlibat dalam misi kemanusiaan di luar negara. Saya berasa sangat sedih atas kejadian yang menimpa bumi Lombok, lebih-lebih lagi ia melibatkan adalah rakyat kita,” katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau bakal ditempatkan di Sekretariat Bencana di daerah Sesait Kecamatan Kayangan, Lombok Utara.
Setiausaha Agung MBM Ahmad Saparudin Yusup berkata fokus utama misi itu tertumpu kepada bantuan psikologi dalam menangani trauma akibat bencana terutama bagi golongan wanita dan kanak-kanak, selain mengagihkan sumbangan keperluan kit kebersihan kepada mangsa.
“Hasil tinjauan GPM di sana mendapati kebanyakan mangsa masih trauma dan tidak berani untuk tidur dalam rumah, mereka hanya tidur di luar rumah tanpa khemah yang sempurna. Oleh itu, kita hantar sukarelawan dengan kemahiran tertentu bagi membantu mereka mengatasi tekanan dialami,” katanya.
Beliau berkata MBM akan menggerakkan tabung sumbangan bantuan kemanusiaan ke seluruh negara bagi membantu mangsa gempa bumi itu.
Katanya orang ramai juga boleh menghulur sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 564025403782 atas nama Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia atau ke pejabat MBM di Wisma MBM, No. 1, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, 56000, Cheras, Kuala Lumpur. – BERNAMA