PORT DICKSON – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkenan berangkat ke acara memperingati pahlawan RAMD di Pusara RAMD di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.
Keberangkatan tiba baginda pada 9.05 pagi disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Pengerusi RAMD Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Hasagaya Abdullah, Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Datuk Wira Md Tajri Alwi serta pegawai kanan RAMD.
Acara dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin Lt Kol Mohd Hamzah Adam.
Baginda kemudian merenjis air mawar dan menabur bunga rampai di pusara Allahyarham Pbt Ismail Sutan Jamil iaitu anggota 1 RAMD yang terkorban semasa bertempur dengan anggota Parti Komunis Malaya di Mengkuang, Pahang pada 8 Sept 1950.
Seterusnya, baginda menandatangani Buku Lawatan Diraja, sebelum mengakhiri acara dengan majlis santapan pagi di Wisma Perwira RAMD di sini bersama pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil pesara RAMD.
Tanah perkuburan RAMD seluas 0.919 hektar menempatkan 222 pusara iaitu 150 pusara awam dan 72 pusara tentera. – BERNAMA