SOLO – Seorang penjawat awam Indonesia membayar tunggakan alimoni (nafkah) berjumlah AS$10,500 (RM42,980) kepada bekas isterinya dengan duit syiling.
Dwi Susilarto tiba di mahkamah kelmarin membawa 12 kampit berisi duit syiling berjumlah 153 juta rupiah, seberat kira-kira 890 kilogram, kata peguamnya.
Pergaduhan hampir berlaku antara Susilarto, 54, dengan peguam isterinya, yang enggan mengira wang diangkut dengan kereta sorong yang ditolak lelaki itu dan dua rakannya.
Peguam Susilarto menafikan anak guamnya cuba menghina bekas isterinya, Hermi Setyowati.
Susilarto yang berpendapatan rendah terpaksa meminta bantuan rakan-rakannya selepas mahkamah di Karanganyar di Jawa Tengah mengarahkan beliau membayar tunggakan alimoni selama sembilan tahun, kata peguamnya, Sutarto.
“Secara jujur, saya juga terkejut tetapi anak guam saya berkata wang itu didermakan oleh rakan dan keluarganya yang kebanyakannya memberikan duit syiling.
“Tiada niat untuk menghina sesiapa. Itu sahaja yang dia ada,” katanya.
Setyowati, yang akhirnya menerima bayaran itu, menegaskan tidak tertipu dengan alasan lelaki itu.
“Ini satu penghinaan, seolah-olah menganggap saya miskin,” Setyowati dipetik akhbar tempatan sebagai berkata.
Mahkamah mengarahkan kakitangannya mengira syiling berkenaan. — AFP