JASA… Selama 37 tahun diwujudkan, nama Biro Tata Negara (BTN) cukup digeruni pihak Pakatan Harapan (PH) yang sebelum itu pembangkang dan kemudian jadi kerajaan baharu pada 9 Mei lalu.
Malah, bakti BTN dikenang rakyat apabila berjaya stabil pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika era Reformasi dilancarkan musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat jawatan secara zalim pada 1998.
Kejayaan tersebut malahan dapat disaksikan apabila Barisan Nasional (BN) kekal menjadi kerajaan, bahkan menang dengan majoriti lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 yang dibuat secara mengejut pada 1999.
Bayangkanlah sejurus Anwar dilucut daripada Kabinet setelah tiga hari negeri kelahirannya, Pulau Pinang jadi hos perarakan sempena Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan; jentera BTN sudah digerak pulihkan imej Mahathir.
Dalam tempoh 15 bulan sahaja sebelum PRU paling sengit dalam sejarah itu berlangsung, ribuan kursus diadakan tanpa henti di 17 buah Kem Bina Negara selain juga Akademi Kenegaraan di ibu negara melibatkan jutaan peserta.
Ia bukan sahaja disertai penjawat awam yang dikenal pasti tegar antikerajaan, malah syarikat swasta dan penuntut universiti turut dikerah masuk kem dalam program indoktrinasi yang amat dibenci pembangkang pada zaman itu.
Begitulah hebatnya BTN demi memastikan Mahathir kekal berkuasa selama 22 tahun sebagai perdana menteri yang keempat tanpa dicabar sehingga Wawasan 2020 diilhamkan beliau sendiri menjadi lagu wajib dihafal peserta kem.
Meskipun kemudian banyak peranannya diambil alih oleh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di bawah Kementerian Pertahanan, namun kini, agensi yang banyak jasanya pertahan Mahathir itu dihapuskan kerajaan PH.
Anehnya adalah sesuatu agak ganjil jika setiap pemansuhan agensi dilakukan atas alasan politik, seolah kewujudan agensi dan sistem kerajaan dahulu adalah berasaskan politik semata tanpa fikir kesan masa hadapan secara holistik.
Penghapusan BTN diumumkan oleh Menteri Belia Dan Sukan baru-baru ini atas sebab konon ia sudah terlalu lama, tetapi hakikat nyata, agensi itu tidak disenangi ramai pemimpin bukan Melayu yang ada dalam kerajaan PH hari ini.
Mungkin kesan kuat daripada semangat patriotisme dan cintakan negara yang dipupuk dalam kem BTN menjadikan ia sangat dikutuk oleh kerajaan baharu yang berkemungkinan besar mempunyai agenda rahsia mereka tersendiri.
Selari dengan impian DAP sekian lama mahu me-Malaysian-kan Malaysia, sekali gus menjadikan parti itu perlu melenyapkan dahulu sebuah agensi yang berperanan dalam kerangka penanaman semangat cintakan negara ini.
Rakyat sedar bahawa BTN dilahirkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1981, adalah tempat untuk pupuk semangat patriotisme, bina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cinta negara dalam kalangan rakyat.
Tiada pun di situ ada nyatakan atau menetapkan syarat politik tertentu, tetapi sebab BTN ditubuhkan kerajaan BN, maka ia dilihat sebagai markas kelahiran perkaderan ramai ahli politik atau pelapis pemimpin muda berjiwa BN.
Walhal ramai lepasan biro ini berkhidmat di pelbagai agensi dan sertai pelbagai parti politik. Mungkin rasa kuatnya semangat patriotisme dilahirkan BTN, maka ia jadi penghalang hasrat PH untuk mewujudkan Malaysian Malaysia.
Namun, kejayaan pemansuhan BTN, sebenarnya jadi hadiah buat rakyat Malaysia daripada kerajaan PH setelah 100 hari mengambil alih daripada BN. Cuma timbul persoalan, adakah BTN gagal atau lari daripada fungsi sebenarnya?
Atau adakah kerana tuduhan kerajaan PH konon BTN mengandungi elemen perkauman menjadi punca? Jika begitu bagaimana pula dengan sekolah persendirian Cina, yang wujud tidak sepatah haram pun soal negara diutamakan.
Bayangkanlah standard bahasa Melayu diajar sebagai mata pelajaran mereka cukup teruk, bahkan muridnya diajar sejarah China, tidakkah di sini ia juga boleh menjadi punca kepada asas perpecahan kaum yang jauh lebih dahsyat.
Apa pun keputusannya, rakyat harus dimaklum apa perlunya BTN dimansuhkan, dan jangan beri alasan konon ia hanya menyebelahi satu kaum sahaja, iaitu Melayu untuk bangkit jadi bangsa cemerlang dalam pelbagai bidang.
Atau tindakan ini bermotifkan politik kerana kita ketahui pemimpin kerajaan PH hari ini tidak begitu senang dan curiga peranan BTN itu sendiri. Mereka lantas sekat agensi yang kononnya diwujudkan kerana ada agenda politik.
Tetapi mereka sendiri pun bertindak berasaskan niat politik. Hasilnya, kaum Melayu juga yang akhirnya rugi dalam jangka masa panjang dan lebih ditakuti, hilang jati diri semangat cintakan negara sendiri! – Agensi/Mynewshub.TV