KUALA LUMPUR – Tarikh melihat anak bulan Zulhijah untuk menetapkan Hari Raya Qurban adalah pada petang 11 Ogos bersamaan 29 Zulkaedah 1439 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Pengisytiharan tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah iaitu tarikh bagi Hari Raya Qurban akan dibuat melalui radio dan televisyen pada malam itu.
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa penetapaan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, jawatankuasa-jawatankuasa itu diperkenan melihat anak bulan Zulhijah di 29 tempat ditetapkan.
Tempatnya ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (ketiga-tiganya di Selangor). Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar (ketiga-tiganya di Kedah) ; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kusza, Setiu (ketiga-tiganya di Terengganu); Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu yang ketiga-tiga di Kelantan.
Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, kesemuanya di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan kesemuanya di Pahang; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Kuala Sungai Batu, Simpang Empat di Perlis. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..