TENTERA Myanmar memang berniat melaksanakan genosid atau pembunuhan beramai-ramai Rohingya yang beragama Islam, manakala kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi tidak berbuat apa-apa untuk menghalangnya.
Demikian dapatan satu laporan oleh para penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut penyiasat terbabit, ketua tentera dan lima orang jeneral tentera perlu didakwa kerana mengatur dan merancang jenayah itu.
Menurut mereka lagi, kerajaan awam turut bertanggungjawab kerana membenarkan kempen kebencian berleluasa, memusnahkan dokumen tertentu dan gagal melindungi golongan minoriti daripada jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.
Jenayah tersebut dilakukan secara meluas di negeri-negeri penduduk minoriti di Rakhine, Kachin dan Shan, jelas laporan itu.
Kerajaan menurut penyiasat PBB itu menyumbang kepada jenayah tersebut kerana kegagalan itu.
Pada 2017, tentera kerajaan melakukan pembunuhan di Rakhine yang dikatakan sebagai tindak balas kepada serangan militan Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) terhadap pos tentera dan polis Myanmar.
Seramai 700,000 bangsa Rohingya melarikan diri dan kebanyakan sekarang hidup di kem pelarian di negara jiran Bangladesh.
Laporan PBB itu juga mengutuk tindakan pihak tentera yang bertindak membakar hingga musnah kampung-kampung orang Islam.
Menurut laporan itu lagi, jenayah di negeri Rakhine, dan cara ia dilaksanakan, sama dari segi bentuk, kesan dan ruang lingkup yang membolehkannya disahkan sebagai genosid yang dirancang.
Laporan bebas itu juga menegaskan, “Terdapat maklumat yang cukup untuk menuntut penyiasatan dan pendakwaan ke atas pegawai kanan dalam kepimpinan Tatmadaw (tentera), supaya sebuah mahkamah yang beupaya dapat menentukan liabiliti mereka dalam genosid di negeri Rakhine.” – Agensi