MATARAM – Angka kematian gempa bumi berukuran 6.9 magnitud di pulau Lombok meningkat kepada 131 orang, manakala lebih 156,000 lagi penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal.
Ia adalah insiden gempa bumi kedua dalam tempoh seminggu dan kejadian gempa pertama mengakibatkan 17 mangsa terkorban.
Pihak berkuasa turut merayu bantuan bekalan asas dan kakitangan perubatan bagi membantu kira-kira 1,477 penduduk yang cedera parah dalam gempa terbaru itu, selepas ratusan kediaman musnah.
“Kami menganggarkan angka kematian akan terus meningkat,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Sementara itu, pasukan penyelamat yang dilengkapi jentera berat meneruskan usaha mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan kediaman, sekolah dan masjid, walaupun harapan untuk menemui penduduk yang terselamat adalah tipis. – AFP