SUNYI… Pada kebiasaanya apabila rai sesuatu tarikh penting, maka peserta akan ada paling kurang pun kenduri kesyukuran atau buat parti sambutan bagi kenang peristiwa bersejarah tersebut.
Namun anehnya, ia langsung tidak berlaku pada sambutan janji manifesto genap 100 hari Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan baharu, rakyat yang menanti dengan penuh harapan jika ada sebarang sambutan tampaknya hampa.
Bukan sahaja tiada sambutan sempena tarikh itu jauh sekali untuk ada majlis kesyukuran, tetapi rakyat dihidangkan dengan rasa kecewa kerana kerajaan PH berjaya tidak tunai janji-janji manis menjelang 100 hari mereka berkuasa.
Bukan sahaja PH tidak meraikan peristiwa itu, bahkan segala janji konon dapat dilaksana menjelang 100 hari pun tidak mampu mereka lakukan yang jadi faktor rakyat pilih blok tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Ikuti huraian oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berhubung kegagalan kerajaan PH dalam menunaikan janji 100 hari mereka genap semalam:
“Hari ini genap 100 hari manifesto PRU-14 oleh PH, yang sebahagian besarnya tidak tertunai. Seperti yang diduga, isu ekonomi negara masih dimainkan sebagai helah kerajaan baharu ini untuk menangkis kritikan rakyat marhaen.
Justeru, tidak seperti kebanyakan kerajaan di negara lain yang biasa akan meraikan penuh meriah kejayaan 100 hari memerintah, namun di Malaysia tiada sebarang acara pun diadakan oleh Kerajaan PH bagi rai 100 hari mereka.
Semua ini kerana tiada apa kejayaan besar yang dicapai untuk dibanggakan. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata konon tempoh lima tahun tidak cukup untuk ‘perbaiki kerosakan’ ditinggalkan oleh Kerajaan BN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah pula berkata dengan angkuh bahawa PH tidak perlu meminta maaf kepada rakyat atas kegagalannya untuk menunaikan segala janji yang terkandung di dalam manifesto.
Semua kenyataan ini adalah alasan dan jelas menggambarkan kegagalan PH lunaskan janji mereka. Persoalannya, apakah tempoh 22 tahun Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat mencipta kejayaan tanpa cacat-cela?
Bukankah tempoh dan pengalaman beliau yang begitu lama tadbir Malaysia sepatutnya sudah cukup bantu lunaskan janji 100 hari PH. Jadi kegagalan ini juga membuktikan bahawa tadbir negara tidak boleh dilaksana berseorangan.
Maka, ketidakupayaan Kerajaan PH melunaskan janjinya juga kerana Perdana Menteri selaku Pengerusi PH sendiri dikelilingi kebanyakannya oleh mereka yang tidak berkebolehan serta tidak berpengalaman daam tadbir negara.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri pula, yang baru lepas jawatan Presiden PKR tetapi masih pegang posisi Presiden PH; adalah tanda jelas bahawa PH sendiri tidak berterima kasih kepada rakyat yang memilih mereka.
Hakikatnya ramai yang mengundi PH pada PRU ke-14 lalu kini sekadar menanti dan tagih segala janji. Namun tol lebuh raya tidak dimansuhkan, hutang peneroka Felda gagal dihapuskan dan hutang PTPTN masih lagi kena bayar.
Juga harga komoditi seperti kelapa sawit merudum sehingga menghimpit kehidupan peladang terbabit dan tiadanya penurunan harga petrol ketika harga minyak mentah dunia menurun, adalah hal yang merungsingkan rakyat.
Golongan nelayan pula terus dihimpit keresahan dengan hilangnya elaun manakala rakyat miskin makin hadapi kesukaran untuk hidup dengan segala janji kosong PH. Lebih malang tiada perancangan atau halatuju yang jelas.
Bagaimana PH mahu bantu serta selesaikan masalah yang sedang dihadapi? Kebimbangan rakyat juga ialah apabila Kerajaan PH tidak begitu serius tangani kesan kenaikan harga barang di pasaran lebih mahal daripada zaman BN.
Kesan langsungnya terkena kepada mereka berpendapatan rendah dan pekebun kecil. Kuasa beli mereka makin kurang akibat pendapatan semakin terjejas. Kesan ketidakcekapan tadbir ekonomi kini himpit kehidupan rakyat.
Sedangkan usaha menyelesaikan isu kos sara hidup juga adalah janji 100 hari mereka. Perkara yang jelas ialah sikap suka menyalahkan kerajaan dahulu bagi tutup kelemahan Kerajaan PH. Sikap pelik begini tidak boleh berterusan.
Ini kerana rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baru yang melegakan rakyat dilaksanakan oleh Kerajaan PH hari ini. Dan 100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran Kerajaan PH akan terus begini ?
Pendekatan baharu yang dilihat oleh rakyat ialah apabila banyak u-turn dilakukan oleh kerajaan PH, contohnya ke atas projek HSR dan ECRL . Semua ini juga dilihat sebagai kelemahan dalam mentadbir pembangunan negara.
Kesannya boleh dilihat umpamanya, apabila wakil Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang dihantar ke China pun gagal meyakinkan mereka bulan lalu sehingga Mahathir pula terpaksa merangka lawatan sekali lagi ke China.
Semua ini merugikan rakyat kerana jika kuasa besar seperti China dilihat tidak lagi berminat kepada negara ini. Kesan jelas apabila berlaku kejatuhan harga komuditi apabila China difahamkan henti beli daripada Malaysia.
Jika lihat situasi begini, sebenarnya ramai pihak bimbang dan merasa amat pelik kerana sejak memerintah, kerajaan belum pun umum pakej rangsangan ekonomi dan pelaburan, yang menyaksikan pasaran saham terumbang-ambing.
Nilai tukaran ringgit berbanding mata wang asing terutama dolar Amerika Syarikat terus merudum waima setelah cuba diselamatkan Bank Negara Malaysia sehingga menyaksikan rizab antarabangsa semakin susut sejak PRU ke-14.
Justeru BN kini di pihak pembangkang, kita mahu lihat penjelasan matematik terhadap semua angka diberikan, dan bukan sekadar angka tangkap muat kepada semua persoalan mengenai projek yang dibatal atau ditangguhkan.
Juga bukan sebagaimana diamalkan oleh Menteri Kewangan Kerajaan PH. Persoalannya, di manakah ahli ekonomi hebat PH yang konon menjalankan penyelidikan semula terhadap kos tol lebuh raya, HSR, ECRL serta projek lain?
Rakyat mahu ‘mathematical answer’ terhadap semua ini, terutama kononnya hutang kerajaan RM1.4 trilion, isu projek rel LRT3 dan yang lain. Ini penting untuk tingkat keyakinan pelabur luar dan bukan semata rakyat Malaysia.
Semua pihak perlu diyakinkan penghapusan GST diganti dengan SST akan bawa kebaikan. Jadi bagaimanakah congak kira Lim Guan Eng bahawa tidak akan kekurangan sumber kewangan akibat perubahan sistem percukaian.
Perkara penting seperti ini amat mempengaruhi keadaan ekonomi negara dan tidak boleh diambil mudah oleh Kerajaan PH. Seterusnya, bagaimana pula dengan puluhan janji PH yang lain dalam manifesto mereka?
Apa yang berlaku ialah golongan LGBT makin berani tuntut hak dan cabuli syiar Islam, manakala desakan parti komponennya agar UiTM dibuka kepada bukan Melayu dibiarkan menjadi kemelut keresahan orang Melayu.
Kerajaan PH sepatutnya perlu membuktikan keupayaan memerintah negara lebih baik daripada BN. Menteri Kewangan yang jaga khazanah negara juga mesti profesional dengan ubah sikap prasangka dan cara bekerja.
Menyalah dan menimbulkan persepsi buruk serta buat tuduhan jahat kepada kerajaan terdahulu tanpa asas bukan cara bekerja yang baik bagi seorang menteri dalam portfolio penting kepada sebuah kerajaan.
Dalam tempoh 100 hari nilai tukaran ringgit Malaysia terus jatuh junam. Jumlah aliran keluar wang tunai dan pelaburan asing dalam negara semakin membimbangkan. Situasi ini yang perlu Menteri Kewangan selesaikan.
Namun setakat ini sangat jelas beliau nampak sangat gagal dan buntu dalam mencari jalan keluar kepada masalah ini. Kesan kegagalan ini bukan hanya merugikan mereka yang mengundinya sahaja tetapi juga kepada banyak pihak.
Hakikatnya, PH dilihat bukan hanya gagal tunaikan 10 janji 100 hari, sebaliknya telah cipta pelbagai kelemahan lain serta tumpu perkara lain umpamanya lulus RM25 juta kepada penambahbaikan litar Formula One di Sepang.
Usaha sebegini nyata tidak beri keuntungan kepada rakyat berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang sepatutnya diberi perhatian dan tidak mampu bayar tiket mahal untuk saksi perlumbaan jentera mewah di situ.
Saya berharap Kerajaan PH dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab. Kegagalan Janji 100 Hari PH jangan disambung dengan pelbagai kegagalan yang lain kerana semua ini akan merugikan rakyat dan negara.
Hakikatnya Kerajaan BN telah berjaya mewariskan yang terbaik kepada negara selama 61 tahun, maka sepatutnya Kerajaan PH dapat melakukan lebih baik daripada itu demi rakyat”. – Agensi/Mynewshub.TV