KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil ke atas syarikat telekomunikasi yang gagal menurunkan harga jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, setakat ini, hanya dua syarikat telekomunikasi yang patuh kepada Standard Mandatori bagi Penetapan Harga Akses (MSAP) yang dikuatkuasakan pada Jun, 2018.
“Kementerian pada awalnya menetapkan tarikh akhir pada 31 Julai (untuk mengkaji semula perbincangan komersial), bagaimanapun, terdapat rayuan untuk melanjutkan tempoh, jadi kami bersetuju menangguhkannya sehingga akhir bulan ini,” katanya kepada pemberita hari ini selepas merasmikan mesyuarat Asia-Pacific Telecommunity (APT) Preparatory Group.
“Setakat ini, hanya Telekom Malaysia Bhd dan Maxis Bhd telah mengkaji semula harga mereka…kami masih menunggu syarikat telekomunikasi lain melakukan perkara yang sama. Kita akan mengambil tindakan terhadap mereka sekiranya mereka gagal mematuhi MSAP pada akhir bulan ini. Kami serius tentang perkara ini,” katanya.
Pada 13 Julai, Gobind dalam catatan di laman twitternya berharap agar semua syarikat telekomunikasi akan mengemukakan cadangan dengan segera mengenai cara untuk menurunkan harga jalur lebar dan meningkatkan kelajuan internet.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Gobind berkata setakat Julai tahun ini Malaysia telah mencapai 94.4 peratus tahap penembusan jalur lebar di kawasan padat penduduk. Sasarannya adalah untuk mencapai 94.5 peratus kadar penembusan pada akhir tahun.
“Sasaran 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan padat penduduk di seluruh negara menjelang 2020 boleh dicapai.
“Untuk mencapai baki lima peratus lagi mungkin nampak tidak sukar tetapi mereka yang bergiat dalam industri tahu bahawa beberapa peratus itulah yang akan menjadi paling mahal untuk dicapai,” katanya.
Gobind berkata baki lima peratus liputan jalur lebar itu akan mencabar dan menelan kos kerana lokasi yang berbukit, kepadatan penduduk dan paling penting jarak yang berbeza daripada prasarana dan rangkaian sedia ada.
Kementerian itu, katanya, akan terus memudahkan peningkatan kualiti dan perkhidmatan jalur lebar yang mampu milik dengan sasaran mencapai “kelajuan berganda, pada separuh harga” pada tahun depan.
Mesyuarat APT akan berakhir pada 30 Ogos. – BERNAMA