WASHINGTON – Kerana tidak tahan isteri terlalu kerap meminta wang, seorang lelaki Honduras sanggup berpura-pura mati akibat kanser dengan menghantar gambar ‘mayatnya’ seolah-olah disiapkan untuk pengebumian.
Danny Gonzalez, 27, yang bekerja di Amerika Syarikat (AS) menghantar gambar menunjukkannya dalam keadaan hidung disumbat kapas sambil berbaring di atas kain putih seolah-olah berada di rumah mayat.
Gambar itu dihantar kepada isterinya yang tinggal di Saba, selatan Honduras bersama gambar keranda dilitupi bunga serta mesej memaklumkan lelaki itu meninggal dunia akibat penyakit kanser.
Bagaimanapun, penipuannya tidak menjadi selepas kematiannya heboh di media tempatan yang mengejutkan rakan serta ibu bapanya.
Daily Mail melaporkan, penipuannya terbongkar apabila saudaranya yang melihat gambar itu menyedari Gonzalez kelihatan tersenyum.
Mereka yang mengamati gambar itu melihat dia sebenarnya berbaring di atas katil dan cadar putih itu cuma sarung bantal.
Gonzalez yang ditemui media tempatan akhirnya mengaku dia sebenarnya ingin menipu isterinya yang selalu meminta wang.
Katanya kepada saluran TV Sur : “Isteri menghubungi saya setiap minggu meminta wang. Setiap Sabtu dia memberitahu memerlukan lebih wang.
“Sepanjang minggu, dia tidak langsung peduli untuk menghantar mesej atau menghantar gambar selain meminta wang.
“Saya sudah memberikan enam telefon bimbit tetapi dia sentiasa meminta yang baru kerana mendakwa semuanya dicuri.”
Keluarganya dilaporkan mengecam tindakan itu sambil menyifatkannya sebagai anak tidak mengenang budi selain turut dikritik netizen.
Seorang netizen menulis: “Lebih baik berterus terang dengan ibu bapa dan memberitahu mereka anda tidak mahu lagi membantu daripada menipu begini.
“Silap-silap nanti kamu memang menemui ajal sebagai balasan.” – Agensi/myMetro Online