UNIK… Seorang lelaki warga Peru baru-baru ini telah tular menerusi media sosial di negara Amerika Selatan tersebut hanya kerana corak tandatangannya yang begitu ‘unik.’
Daripada sekadar coretan tipikal abjad tertentu atau huruf ‘X’ secara ringkas, lelaki ini pula sebaliknya sering menandatangani namanya dengan lukisan seperti kanak-kanak, iaitu bentuk seekor anak kucing.
Tandatangan lelaki itu telah menjadi tular selepas gambar kad pengenalannya, bersebelahan dengan dokumen rasmi polis yang ditandatanganinya itu telah diposkan ke Internet oleh pihak polis di bandar pantai Huarmey.
Kisahnya bermula apabila dia bersama-sama lima orang yang lainnya telah ditangkap polis pada 18 Julai lalu atas tuduhan memiliki senjata. Mereka dibawa ke sebuah balai polis tempatan dan dimasukkan ke dalam lokap.
Kemudian pegawai polis yang bertugas begitu tertarik dengan salah satu tandatangan pesalah, Juan Carlos Varillas Bazán. Dia yang berusia 31 tahun itu hanya tahu melukis contengan anak kucing sebagai tandatangannya.
Anggota polis di balai itu berfikir ia adalah sesuatu yang kelakar, jadi mereka pun menyiarkan dokumen-dokumen itu ke dalam laman sosial Facebook rasmi balai polis berkenaan agar orang ramai dapat melihatnya.
Ia tidak mengambil masa yang lama untuk tular dalam pelbagai rangkaian media sosial dan mula menjadi bahan gurauan. Tidak lama kemudian, rangkaian berita nasional juga menyiarkan gambar tandatangan tersebut.
Ada juga pihak media tempatan yang cuba menghubungi Varillas Bazan, tanpa tahu dia sebenarnya telah pun dibebaskan; hanya semata-mata untuk bertanyakan mengenai cerita tandatangannya yang luar biasa itu.
Walaupun beberapa pengguna Facebook dan Twitter mempersendakan lelaki itu tidak dapat menulis, ternyata tandatangan contengan anak kucing itu mempunyai kisah tersirat yang menyentuh hati di sebaliknya.
Lelaki warganegara Peru itu memberitahu akhbar La Republica bahawa ketika berumur 16 tahun, dia ada seekor anak kucing yang sangat disukainya, jadi apabila mula dapat kad pengenalan pertamanya, dia ada idea sendiri.
Varillas Bazan berkata, dia memutuskan untuk menandatangani sahaja namanya dengan bentuk contengan ‘unik’ tersebut, sebagai satu penghormatan kepada kenangannya itu.
Lelaki itu memberitahu wartawan bahawa kakitangan di Jabatan Pendaftaran dan Pengenalan Awam Negara (RENIEC) menasihatinya untuk memilih tandatangan yang biasa untuk diingatinya sebagai tandatangan.
Ini untuk mengelakkan masalah pada masa depan, tetapi dia memutuskan untuk terus memilih tandatangan itu. Dia mengakui bahawa contengan itu membuatkannya sukar untuk berurusan dengan dokumen-dokumen penting.
Antaranya tentulah pihak bank yang sentiasa memeriksa kad pengenalannya, untuk memastikan agar ia sepadan dengan corak tandatangan asal. Varillas Bazán kini bersiap sedia untuk menyaman balai polis di Huarmey.
Mereka didakwa dedah maklumat peribadi tanpa minta izin daripadanya terlebih dahulu. Dia juga mendakwa ditahan tanpa alasan hanya kerana menumpangkan lima lelaki yang dituduh memiliki senjata haram itu. – Agensi