SHAH ALAM – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni disaran memastikan dahulu segala janji lama kerajaan negeri kepada rakyat ditunaikan sebelum menabur janji-janji baharu dalam kempennya.
Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan jika janji lama masih banyak tertangguh tetapi menambah pula janji baharu, ia mungkin boleh menyebabkan kerajaan dijadikan bahan jenaka rakyat.
“Tunaikanlah janji lama dulu. Jika benar (Mohd Zawawi) mahu perjuangkan (pembinaan rumah mampu milik), buatlah kerana ia juga hasrat BN,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohd Zawawi yang akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dan syarikat pemaju milik kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Sungai Kandis jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Pada hari pengundian Sabtu ini, Mohd Zawawi berdepan calon BN Datuk Lokman Noor Adam serta calon Bebas, K. Murthy dan PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. – BERNAMA