TURKI akan menerima sistem antipeluru berpandu balistik terkini buatan Rusia pada 2019, pada masa hubungannya dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utata (NATO) dan Amerika Syarikat semakin merosot.
Jadual penghantaran ini diumumkan oleh syarikat milik negara Rusia, Rosoboronexport hari ini.
Pembelian sistem senjata bukan buatan NATO ini menyebabkan hubungan Turki dengan AS dan Eropah tegang, hingga Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengugut untuk meninggalkan sekutu Barat dan beralih ke blok pesaing.
Turki semakin merapatkan hubungan dengan Rusia, Iran dan China kebelakangan ini, dan semakin merapati negara-negara itu sejak cubaan rampasan kuasa pada 2016 yang dikatakan dibantu AS dan sekutu di dunia Arab.
“Kontrak (S-400 untuk Turki) dilaksanakan dalam tempoh masa yang dipersetujui. Pada 2009 kami akan mula melaksanakan kontrak ini,” kata ketua pegawai eksekutif Rosoboronexport, Alexander Mikheev seperti dilapor Interfax.
Perjanjian pembelian S-400 antara Turki dan Rusia telah dimeterai dan malah Turki sudah membuat bayaran pendahuluan untuk sistem bernilai AS$2.5 bilion itu.
Turki sebelum ini membuat kenyataan mengatakan sistem peluru berpandu itu akan mula digunakan pada Julai 2019.
Di Washington, tekanan untuk menghukum Turki kerana membeli peluru berpandu canggih itu giat dijalankan oleh ahli Kongres AS dan telah berhasil.
Sesetengah pakar tentera bimbang sistem F-400 bakal membahayakan aset sekutu NATO termasuk pesawat F-35 dan sistem radar.
Presiden Donald Trump baru-baru ini meluluskan rang undang-undang menyekat penghantaran pesawat F-35 yang dibeli oleh Turki.
Hubungan Turki dan AS semakin keruh kebelakangan ini dan diburukkan lagi oleh penahanan paderi Kristian Evangelical AS, Andrew Brunson.
Trump telah bertindak dengan mengenakan sekatan terhadap Turki, dan pada masa yang sama, matawang Turki, lira kini merosot mendadak berbanding dolar AS.
Tekanan ekonomi ini telah mendorong Turki dan sekutu membincangkan cara lain untuk menghadapi tekanan AS ini, termasuk menimbangkan untuk berurusan dalam matawang sendiri dan tidak menggunakan dolar AS. – HDN/Mynewshub.tv