PERSATUAN Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) menggugurkan pemain tengah skuad Bawah 23 tahun (B-23), Mohammed Khalfan Al-Harazi daripada senarai pemain mewakili negara itu pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Tindakan itu diambil selepas persatuan itu meneliti laporan awal yang mendapati Mohammed Khalfan menjadi dalang utama mencetuskan insiden pergaduhan ketika aksi persahabatan membabitkan pasukan itu dengan skuad B-23 negara di Shah Alam, malam Jumaat.
Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya pada Sabtu, UAE FA turut membuat permohonan maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden itu yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan mereka.
Pergaduhan Sudah Dijangka ā Ong Kim Swee
“Kami amat kesal dan membantah tindakan yang dicetuskan Mohammed Khalfan Al-Harazi yang tiada kaitan dengan moral dan semangat kesukanan yang sentiasa menjadi slogan pasukan kebangsaan dan juga kelab dalam setiap perlawanan.
“Berdasarkan laporan awal yang diterima, kami memutuskan untuk menggugurkan pemain tersebut dari senarai pasukan yang mewakili “Asayad”.
“Selain itu dia akan dirujuk kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemain itu mengikut prosedur dan undang-undang yang sudah ditetapkan selari dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” demikian menurut kenyataan itu.
Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan telah menerima surat rasmi permohonan maaf daripada UAE FA selepas satu perbincangan diadakan antara kedua-dua pihak susulan insiden itu.
“Saya dan (Presiden) Datuk Hamidin Mohd Amin terus mengadakan perbincangan dengan pihak UAE FA menerusi Setiausaha Agungnya, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan juga naib presidennya, Abdulla Naser Al Jneibi serta pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John.
“Selepas perbincangan, FAM telah menerima surat rasmi daripada UAE FA menyatakan mereka meminta maaf di atas insiden pergaduhan terbabit dan mengambil serius apa yang berlaku itu dengan akan melakukan siasatan dalaman bagi tindakan diambil kepada pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Stuart berkata FAM juga akan mengemukakan laporan daripada Komisioner Perlawanan (MC) dan juga pengadil kepada AFC pada Sabtu.
“FAM seterusnya akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak,” katanya.
Insiden pergaduhan itu berlaku pada masa kecederaan babak kedua dan ia tercetus selepas Mohammad Khalfan mengasari pemain negara sebelum ada tindak balas.
Namun pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.
Dua gol Malaysia dijaringkan masing-masing oleh Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Mohammad Akhyar Abdul Rashid (m-64). – mStar