CARACAS – Mahkamah Agung Venezuela telah mengemukakan permohonan rasmi untuk mengekstradisi lapan rakyat Venezuela yang berada di luar negara dan disyaki terlibat dalam percubaan membunuh Presiden Nicolas Maduro.
Mahkamah itu telah mengeluarkan permohonan ekstradisi kepada kerajaan Colombia, Peru dan Amerika Syarikat berhubung insiden serangan dron yang berlaku di Caracas pada 4 Ogos.
Permohonan itu dibuat terhadap Rayder Alexander Russo Marquez; Yilber Alberto Escalona Torrealba; Osman Alexis Delgado Tabosky; Carlos Luis Aular Monastery; Virginia Antonieta da Silva-Pio; Elvis Rivas Barrios; Josser Eduardo Lopez Valero dan timbalan presiden parti pembangkang merangkap bekas presiden Perhimpunan Kebangsaan (AN) Julio Borges.
Mereka berdepan pelbagai pertuduhan termasuk menderhaka, cuba membunuh Presiden Maduro, cuba membunuh beberapa pegawai Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivaria, menghidupkan satu peranti letupan di satu perhimpunan awam, melakukan keganasan dan membiayai keganasan.
Pada 4 Ogos, semasa sambutan ulang tahun ke-81 Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivaria, dua dron yang sarat dipasang dengan bahan letupan C4 telah meletup ketika Maduro berucap dan mencederakan tujuh pegawai tentera.
Venezuela dengan pantas menuding jari menyalahkan kerajaan Colombia di bawah pimpinan bekas Presiden Juan Manuel Santos atas percubaan membunuh itu, serta sekutu pembangkang di Venezuela dan Amerika Syarikat. – BERNAMA-NNN-TELESUR