KUALA LUMPUR – Ketika tumpuan diberikan kepada kontinjen Malaysia yang berjuang di Sukan Asia Jakarta Palembang, seorang atlet e-sports negara mencipta sejarah dengan meraih kedudukan podium pada kejohanan berprestij The International 8 Dota 2 hari ini.
Pemain profesional Dota 2, Yap ‘xNova’ Jian Wei dan pasukannya, PSG.LGD, menduduki tempat kedua pada kejohanan itu yang membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$4.1 juta (RM16.8 juta).
Awal tahun ini, Paris Saint-Germain menjadi kelab utama bola sepak Eropah menandatangani perjanjian dengan organisasi permainan video LGD Dota 2 dan pasukan itu bermain dengan menggunakan nama PSG.LGD.
Diiktiraf sebagai kejohanan paling lumayan dalam sejarah e-sports, kejohanan yang dianjurkan setiap tahun itu menghimpunkan pasukan terbaik permainan Dota 2 di seluruh dunia.
Hadiah keseluruhan tahun ini bagi kejohanan Dota 2 adalah lebih AS25.4 juta (RM103 juta) hampir AS$1 juta lebih berbanding tahun lalu.
Pasukan Jian Wei yang berpangkalan di China, tumpas pada final kepada wakil Eropah, OG tatkala mereka meraih hadiah wang tunai AS$11.2 (RM45.8 juta).
Tahun lalu, Tue ‘Ah Fu’ Soon Chuan dan pasukannya, LGD.Forever Young, menduduki tempat ketiga pada kejohanan itu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$2.6 juta (RM11.2 juta).
E-sports dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan Asia tahun ini sebagai acara demonstrasi dengan pingat yang diraih tidak dikira dalam pungutan keseluruhan.
Ia satu percubaan sebelum e-sports dibawa masuk sebagai acara pertunjukan pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan tahun lalu, Majlis Olimpik Asia mengumumkan acara itu akan diadakan secara rasmi di Sukan Asia 2022.
Sebagai perbandingan, acara badminton Siri Super Akhir menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM2 juta, manakala perlumbaan Le Tour de France pula tahun ini menyediakan RM10.1 juta. – BH ONLINE