BALASAN… Seorang wanita dihukum penjara 18 bulan kerana mengadu mengenai laungan azan dari masjid sekali gus kes terkini undang-undang khusus bagi perbuatan nista agama di Indonesia.
Meiliana, 44 tahun, seorang penganut Buddha, didapati bersalah kerana hina agama Islam dengan bertindak biadab menyuruh masjid di kawasan kejiranannya supaya mengurangkan bunyi azan melalui sistem alat pembesar suara.
Ini kerana dia dakwa konon laungan azan terlalu kuat dan ‘sakit’ telinganya. Dia menjadi pesalah kedua dihukum di bawah undang-undang kontroversi itu selepas bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaya Purnama tahun lalu.
Terdapat sekitar 800,000 masjid di seluruh negara terbesar rantau Asia Tenggara itu, dan laungan azan sebanyak lima kali setiap hari kedengaran di mana-mana termasuk di bandar-bandar besar mahupun kawasan pekan kecil.
Mahkamah tempatan di Medan menyatakan bahawa komen Meiliana dibuat dua tahun lalu, mencetuskan rusuhan apabila masyarakat Islam yang marah dihina sedemikian kemudian menyerbu dan merosakkan kuil-kuil Buddha.
Sebilangan etnik kaum Cina di wilayah Sumatera Utara terpaksa lari bertempiaran kerana takut sekali gus ulangi insiden ketika era Reformasi 1988 apabila kaum pribumi bangkit bunuh komuniti Tionghua di sekitar Jakarta.
Tertuduh ketika dijatuhi hukuman kerana protes suara azan Masjid Al Maksun, di Jalan Karya Lingkungan I, Kelurahan Tanjung Balai Kota I, Kecamatan Tanjungbalai Selatan namun tampil memohon maaf di mahkamah.
Peguam bela Meiliana mengatakan bahawa anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu sementara Amnesty International menggesa mahkamah lebih tinggi untuk menolak keputusan yang dikeluarkan.
“Keputusan tidak munasabah ini jelas satu pelanggaran kebebasan bersuara,” kata Eksekutif Indonesia Amnesty International, Usman Hamid. Indonesia memiliki penduduk Islam terbesar di dunia iaitu hampir 260 juta orang.
“Menjatuhi hukuman penjara 18 bulan atas sesuatu yang remeh benar-benar satu gambaran tentang undang-undang menista agama yang semakin digunakan sewenang-wenangnya dan menindas pihak lain.”
Republik itu secara rasmi sebuah negara majmuk dengan adanya enam kelompok agama lain termasuk Hindu, Kristian dan Buddha. Kebebasan bersuara seharusnya terjamin dengan penguatkuasaan undang-undang.
Namun, sekiranya seseorang mengkritik agama tertentu – khususnya Islam, agama yang dipegang lebih 90 peratus warga Indonesia – boleh mengakibatkan seseorang dihukum penjara.
Kumpulan hak asasi sudah lama berkempen bagi menolak undang-undang menista agama negara itu, dan mendakwa bahawa ia sering disalahgunakan dan disasarkan terhadap kaum minoriti.
Tahun lalu, mantan gabenor ibu kota Indonesia yang turut dikenali sebagai Ahok – yang beragama Kristian dan berketurunan Cina – dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan menista agama Islam.
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pernah membuat rayuan pada tahun 2015 supaya rumah-rumah ibadat mengurangkan bunyi sistem alat pembesar suara bagi keharmonian penduduk berdekatan. – AFP/Mynewshub.TV