TEMERLOH – Wanita UMNO Pahang mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat pemulihan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai usaha membawa mereka kembali ke pangkal jalan.
Ketuanya Datuk Siti Hajar Mubin optimis kerajaan mampu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu golongan itu kerana hukum Islam tidak boleh dikompromi.
Wanita UMNO Pahang menolak sekeras-kerasnya cadangan kumpulan penyokong LGBT supaya golongan itu diiktiraf bagi memudahkan mereka mendapat pembelaan dan dapat memperjuangkan hak mereka yang didakwa sebagai hak kebebasan manusia.
“LGBT ialah satu kumpulan yang membentuk satu badan bebas di luar negara untuk membantu dan memperjuangkan golongan yang mengalami kecelaruan gender.
“Kumpulan ini telah mencabar kedaulatan undang-undang negara dan Islam sebagai agama persekutuan seperti mahu memansuhkan pengharaman liwat dan seks songsang, katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sukarelawan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita Islam dan Parti Politik Solidariti Tolak LGBT di Dewan UMNO Temerloh di sini, hari ini.
“Usaha ini dilihat semakin berhasil apabila suara dan permintaan mereka mendapat perhatian dan layanan atas dasar menyantuni golongan transgender… pengiktirafan ini bermakna menggalakkan ia berkembang dan tidak mustahil mereka akan menuntut perkara lain selepas ini,” katanya.
Siti Hajar berkata, Wanita UMNO tidak mendiskriminasikan golongan LGBT dan masih menghormati mereka, namun terdapat perkara yang tidak boleh dihalalkan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, yang juga Anggota Parlimen Temerloh, dan program sehari itu disertai 500 sukarelawan dari seluruh Pahang. – BERNAMA