“DENGARKAN ini baik-baik. Kalau benar ingin membangunkan negara ini, negara ini sudah pun membangun. Yang ingin dibangunkan adalah masyarakat yang pada saat ini menderita”
Itu teguran bekas Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi kepada pimpinan negara dan badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau yang kini bersama Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia berkata, tiada gunanya bergaduh demi kuasa kerana yang menderita untuk melengkapi barang dapur rumah tidak mencukupi adalah rakyat sedangkan yang miskin bertambah miskin, manakala yang kaya bertambah kaya.
“Kalau benar anda ingin menjadi pemimpin yang memahami derita yang dilalui rakyat, maka Infaq-kan lah 90 peratus daripada harta kalian untuk rakyat kalian.
“Kalau pemimpin di saat ini memiliki sebuah biji rumah, dua buah biji kereta, mungkin itu sudah melengkapi kehidupan anda sebagai pemimpin. Anda memilih untuk menjadi pemimpin, bukan anda memilih untuk menjadi ahli perniagaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Yusof malah menyindir jika memilih menjadi ahli perniagaan, maka ingin mengumpul harta banyak mana sekalipun menjadi lumrah hidup sebagai ahli perniagaan
Bagaimanapun, apabila telah memilih menjadi pemimpin, maka untuk masuk ke dalam wadah perjuangan membela rakyat harus merasai apa yang dilalui oleh rakyat.
“Jadi wahai pemimpin kalau anda benar berjiwa rakyat, lihatlah dalam baki akaun anda berapa banyak yang anda guna untuk rakyat anda? Berapa banyak yang anda infakkan kepada rakyat anda?
“Anda sendiri yang memilih memperjuangkan rakyat anda, bukan anda memilih menjadi ahli perniagaan. Fahami pemimpin rakyat atau ahli perniagaan yang anda pilih.
“Dua haluan yang berbeza. Tujuan yang berbeza. Semoga anda sedar apa yang saya sampaikan,” katanya. – MYNEWSHUB.TV