KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin optimis Pakatan Harapan (PH) akan terus menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, pada pilihan raya kecil (PRK) 8 Sept ini.
Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang, yakin kelebihan calon PH (PKR) Halimey Abu Bakar yang pernah menjadi Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan menjadi faktor kemenangan parti itu.
“Dia (Halimey) ada pengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan dan faham dengan tugas sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri.
“Insya-Allah, PH akan menang kerana rakyat masih bersemangat tinggi untuk memastikan PH terus memerintah negeri Selangor dan membawa agenda nasional,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Hari Wanita 2018 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.
PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (PKR), meninggal dunia akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Allahyarham Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas, dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Seri Setia dan Balakong diadakan serentak 8 Sept ini. – BERNAMA